seismik

'Cat Beach' Di Pulau Pinang Ini Ialah Destinasi Unik Untuk Kaki Travel Yang Sukakan Kucing

Meow.

Cover image via Facebook Cat Lovers International & Penang and Kedah

Sesiapa sahaja yang meminati kucing pasti suka meluangkan masa bersama haiwan yang comel ini

Bahkan, seseorang yang benar-benar sayangkan kucing, selalunya tidak kisah sama ada kucing tersebut daripada baka baik ataupun sekadar kucing jalanan, pasti akan berasa seronok melihat telatah haiwan comel itu kerana ia akan membuatkan diri ini berasa tenang dan gembira.

Tapi, tahukah anda bahawa terdapat satu pulau di Malaysia yang dihuni ratusan ekor kucing? Lebih menarik lagi, kesemua kucing ini sangat dahagakan perhatian. Oleh itu, sebagai pencinta kucing, anda pasti tidak mahu lepaskan peluang untuk membelai kucing-kucing itu sepuas hati!

Cat Beach atau Pantai Kucing di Teluk Bahang, Pulau Pinang adalah tempat perlindungan kucing di pantai.

Pelawat yang pergi ke sana boleh bermain dengan kucing-kucing itu sambil bersantai di pantai.

Memetik laporan The Star dan Harian Metro, Cat Beach yang merupakan santuari kucing di tepi pantai ini telah diasaskan oleh Teviot Fairservis, seorang wanita Amerika Syarikat dengan kerjasama sahabatnya, Nana Wan Chik yang lebih mesra dengan panggilan ‘Papa Kucing’.

Pantai Kucing ini telah ditubuhkan pada tahun 2011 yang mana misi utamanya adalah untuk menyelamatkan dan menyediakan tempat perlindungan buat kucing-kucing terbiar. Kini, terdapat lebih daripada 250 ekor kucing telah mendiami kawasan ini dan menjadikannya habitat tetap mereka.

Teviot Fairservis, dan sahabatnya, Nana Wan Chik.

Image via Harian Metro

Menurut Teviot, "Saya sedih melihat keadaan kucing yang diperlakukan dengan kejam oleh sesetengah pihak tidak berperikemanusiaan, namun kita akan berusaha memeliharanya dengan layanan terbaik."

“Kucing dipelihara di kawasan perkampungan nelayan berhampiran pantai ini begitu mesra dan manja, sekali gus menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara, malah ada yang meminta untuk memelihara haiwan itu,” tambahnya lagi.

Bagi mereka yang ingin singgah ke Cat Beach, anda boleh mengambil bas dari Georgetown yang mana akan mengambil masa kira-kira 1 jam

Di sana, selain daripada dapat bermain bersama kucing-kucing yang jinak, anda juga boleh menikmati pemandangan yang indah dan suasana yang segar lagi menenangkan.

Pada masa yang sama, jika anda berniat untuk memelihara kucing, anda boleh membawa kucing tersebut pulang dan memberikan kehidupan yang lebih selesa kepadanya. Hal ini kerana peruntukan untuk menguruskan rumah perlindungan haiwan ini memakan kos yang tinggi bukan sahaja dari segi makanan tetapi juga perubatan, rawatan vaksin dan sebagainya.

Sejak tahun 2015, perbelanjaan keseluruhan bagi santuari ini dikatakan telah mencecah sehingga RM110,000 ekoran peningkatan kucing-kucing baru yang diletakkan di kawasan tersebut.

Sesiapa yang berminat untuk berkunjung, boleh datang  pada hari minggu di antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

Alamat: 778, Jalan Teluk Bahang MK 2, 11050 Teluk Bahang, Pulau Pinang
Emel: [email protected]
No. Tel: 017-5753 419

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Betul-betul pencinta kucing sahaja yang faham perasaan kematian kucing kesayangan

Lagi artikel di SAYS Seismik:

You may be interested in: