PDRM Giat Buru Suspek Kes Tembak Di KLIA Terminal 1 Dikenal Pasti Sebagai Hafizul Harawi
Foto suspek kini telah diedar ke pintu masuk negara dan pihak berkuasa negara jiran.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lelaki yang cuba menembak isterinya dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi (Ahad) dianggap individu bersenjata berbahaya oleh pihak polis
Menurut laporan Berita Harian, polis mendedahkan suspek yang kini sedang diburu itu sebagai Hafizul Hawari berusia 38 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.20 pagi di pintu masuk balai ketibaan KLIA ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
Untuk rekod, suspek dan isterinya ada mengusahakan syarikat agensi pelancongan dan umrah yang beroperasi di tanah air.
Jelas Mohd Shuhaily, siasatan mendapati suspek pada awal melempar satu mercun sehingga mencederakan dua orang awam sebelum menghampiri isteriya yang berada di pintu masuk balai ketibaan di situ.
"Suspek bertindak nekad menghampiri mangsa iaitu isterinya dan melepaskan tembakan dalam jarak dekat ke arah mangsa (isteri), antara tiga hingga empat meter.
"Satu das tembakan tersasar dan satu das mengenai pengawal peribadi. Wanita itu yang menjadi sasaran sebenar terselamat daripada tembakan itu.
"Suspek kemudian melarikan diri ke aras dua Blok C, yang mana suspek datang dan meletakkan kereta di situ.
"Hasil siasatan awal, sememangnya jelas kita dapat kenal pasti suspek dan dia mempunyai senjata. Buat masa ini kita telah melancarkan operasi mengesan suspek," katanya dalam sidang media di Balai Ketibaan KLIA, hari ini.
Semua pasukan dan kontinjen polis berhampiran serta bersempadan dengan Selangor sudah digerakkan dalam usaha memburu suspek
"Buat masa ini, kita dapat kenal pasti motif lebih kepada perihal peribadi antara suspek dan mangsa. Selepas kita dapat tangkap suspek kelak, kita akan dapat motif sebenar kejadian tembakan ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menyarankan suspek untuk menyerah diri secara aman di mana-mana balai polis berhampiran dan tidak lagi mengeruhkan lagi keadaan.
"Serahlah diri secara aman. Apa yang berlaku (tembakan) pagi tadi telah pun berlaku, apa yang akan berlaku selepas ini tidak akan dapat membetulkan insiden pertama tadi.
"Dalam konteks ini, polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya. Kita minta orang awam yang ada terlihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan polis namun jangan bertindak sendiri," katanya.
Tambah Mohd Shuhaily lagi, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai permit senjata api dan percaya memperoleh senjata itu secara haram dan pihak polis buat masa ini belum dapat mengenal pasti jenis pistol yang digunakan.
Katanya siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Foto suspek diedar ke pintu masuk negara, pihak berkuasa negara jiran
Dalam perkembangan lain, polis telah mengedarkan foto suspek yang terbabit dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi ke semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata arahan itu dikeluarkan sebaik pihaknya berjaya mengenal pasti suspek yang menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera parah.
Beliau berkata, pihaknya turut memperketatkan kawalan di lorong tikus di sempadan negara bagi mengelakkan suspek yang dikenal pasti sebagai Hafizul Hawari, 38, meloloskan diri ke negara jiran.
Katanya, Hafizul dipercayai masih berada di dalam negara dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.
"Saya percaya dengan kecekapan anggota saya, Hafizul akan ditahan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Razarudin berkata, siasatan awal pihaknya turut mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter semasa kejadian itu.
"Polis menemukan tiga kelongsong peluru di tempat kejadian yang satu daripadanya tidak meletup, kami (polis) mengesyaki Hafizul memperoleh pistol berkenaan dari negara jiran," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!