Pelajar USIM Cipta Sejarah Di Luar Negara, Jadi Imam Solat Tarawih Di Masjid New Zealand
Terbaik dik!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, seorang pelajar Fakulti Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diberi kepercayaan menjadi imam solat tarawih di Masjid Manukau Islamic Youth Centre, Auckland, New Zealand
Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad Hanif Zakaria, 24, terpilih untuk menjadi imam di sana selepas lulus temuduga pemilihan menyertai Program Mobiliti Antarabangsa.
Pemuda kelahiran Kelantan yang mengikuti pengajian dalam program Qiraat itu menyifatkan pemilihannya sebagai satu kejutan kerana persaingan yang sengit dalam sesi temuduga.
"Terkejut juga tetapi saya sangat bersyukur kerana ini peluang keemasan, sekali seumur hidup. Saya telah memulakan tugas sebagai imam tarawih bermula 2 lalu hingga 26 Mac ini," katanya.
Turut mengajar Al-Quran kepada jemaah setempat untuk menjadikan pengalamannya di bumi Auckland lebih bermakna
Menurut Muhammad Hanif, bertugas di negara asing bukan sesuatu yang mudah dan dia perlu memastikan hafazannya lancar untuk memimpin solat dengan sempurna.
"Menariknya, ini merupakan pengalaman pertama saya di pentas antarabangsa, menjadikan tanggungjawab ini lebih mencabar namun penuh dengan pelajaran berharga.
"Saya mahu menjadi perintis. Semoga selepas ini lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan," katanya.
Sebagai wakil pertama USIM yang berkhidmat di New Zealand, Muhammad Hanif berharap penglibatannya menjadi pembuka jalan kepada pelajar lain pada masa akan datang.
Dalam pada itu, dia juga tidak lupa akan pesanan ibu bapanya yang juga pesara guru agar menjaga diri menghormati masyarakat setempat dan membawa nama baik keluarga serta USIM di peringkat antarabangsa.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!