seismik

8 Perkara Setiap Muslim Perlu Tahu Sebelum 'Travel' Ke Korea Selatan

Melancong ke Korea tanpa was-was!

Cover image via Instagram @aisya_zulaikha

1. Korea Selatan merupakan sebuah negara yang Muslim-friendly

Semakin hari semakin ramai pelancong Muslim datang ke Korea Selatan. Salah satu sebabnya adalah kerana Korea Selatan dikenali sebagai negara yang Muslim-friendly. Masyarakat di sana memang mengalu-alukan kedatangan pelancong Islam ke negara mereka.

Selain itu, tiada sebarang isu mengenai Islamophobia pernah timbul di Korea Selatan. Pelancong dilayan dengan begitu mesra, tidak kira dari mana sekali pun. Kemudahan orang Islam juga banyak seperti restoran makanan Halal, Muslim-friendly resorts, masjid, dan macam-macam lagi.

2. Terdapat banyak restoran yang menghidangkan makanan Muslim-friendly di Korea Selatan

Tiada masalah untuk mendapatkan makanan yang Muslim-friendly seperti seafood dan vegetarian di Korea Selatan kerana rakyat Korea Selatan sangat menggemari hidangan yang berasaskan makanan laut dan sayur-sayuran yang segar. Jika anda mahukan hidangan berasakan daging Halal di Seoul, apa kata anda kunjungi kawasan Itaewon di Seoul di mana terdapat banyak restoran Halal di kawasan itu.

Sebagai sebuah ibu negara, Seoul merupakan tempat paling kerap dilawati oleh pelancong dari luar negara, termasuk pelancong Muslim. Jadi, tidak hairan jika terdapat banyak restoran makanan Halal di situ.

Bukan sahaja Seoul, kawasan lain seperti Gyeonggi dan Gangwon juga kini semakin mendapat perhatian pelancong. Industri Halal di Korea Selatan juga semakin lama semakin pesat membangun, dan semakin diberi penekanan.

3. Pembangunan industri Halal di Korea Selatan semakin digiatkan lagi oleh kerajaan

Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (MAFRA) memutuskan untuk bekerjasama dengan UAE bagi menguatkan keupayaan industri Halal di Korea Selatan untuk memenangi pensijilan Halal melalui pertukaran bersama antara Korea Muslim Federation (KMF), satu-satunya organisasi pensijilan Halal di Korea, dan Emirates Authority for Standardization and Metrology (EASM).

Baru-baru ini, satu pasaraya Halal telah pun dibuka kepada orang ramai, yang pertama di Korea. Terletak di Mapo-gu, Seoul, pasaraya ini menjual pelbagai makanan import dan daging Halal, juga hidangan yang dimasak oleh chef warga Arab.

4. Di sana ada ramai rakyat Malaysia

Daripada pelajar, pelancong, sehinggalah yang menetap di sana, rakyat Malaysia sememangnya begitu sinonim dengan negara Korea Selatan. Pergi saja ke mana-mana tempat tumpuan pelancong, pasti mudah untuk bertemu dengan rakyat Malaysia.

Untuk urusan yang lebih mudah, terdapat beberapa pelajar Malaysia di sana yang menjadi tour guide separuh masa. Mana-mana pelancong Malaysia yang datang amat digalakkan untuk mengambil mereka sebagai tour guide. Mereka lebih tahu selok-belok negara tersebut, malah lebih arif tentang isu kemudahan Halal di sana.

5. Kemudahan masjid, surau, dan penyediaan ruang solat yang memudahkan urusan ibadah umat Islam

Seoul Central Mosque.

Image via knowingasean2012.blogspot.com

Memandangkan masyarakat Muslim hanyalah minoriti di Korea Selatan, jadi bilangan masjid tidaklah banyak seperti di Malaysia. Walaubagaimanapun, pelancong Muslim boleh mengunjungi masjid yang terkenal di Seoul iaitu Seoul Central Mosque jika melawati bandar tersebut. Di daerah Gyeonggi pula, terdapat 11 masjid telah dibina di daerah tersebut dan antara yang terkenal adalah Ansan Masjid dan Anyan Masjid.

Lebih menarik, terdapat banyak tarikan pelancong yang menyediakan ruang untuk menunaikan solat seperti Nami Island, Everland, Woongjin Playdooci, Petite France, dan banyak lagi. Terkini, Korea Tourism Organization Tourist Center di Seoul yang terletak berhadapan dengan Cheonggyecheon Stream telah mengubah suai dan membesarkan ruang solat untuk keselesaan pelancong Muslim. Ruang solat juga telah dibahagikan antara lelaki dan perempuan.

6. Perkhidmatan penerbangan yang banyak dan semakin kerap ke Korea Selatan

Populariti Korea Selatan sebagai pusat tumpuan pelancong yang saban hari semakin meningkat mendapat tindak balas positif daripada pelbagai syarikat penerbangan apabila kebanyakannya meningkatkan frekuensi penerbangan ke negara tersebut.

AirAsia turut tidak melepaskan peluang. Pada 2014, syarikat penerbangan tambang murah no 1 di dunia untuk 7 tahun berturut-turut ini menambah penerbangan ke Incheon dari 7 penerbangan seminggu ke 11 penerbangan seminggu mulai 2 Julai. Kemudian menambah lagi perkhidmatan kepada dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Seoul (Incheon) dari 2 Disember dan seterusnya.

7. Ada beberapa aplikasi berguna untuk digunakan sepanjang berada di Korea Selatan

Image via uk.reuters.com

Selaras dengan usaha pihak kerajaan untuk menggiatkan industri Halal, aplikasi merangkumi topik makanan Halal juga dilihat mula dibangunkan. Salah satunya ialah 'HalalKorea for Muslim' dan juga 'Halal Chopsticks'.

Kedua-dua aplikasi ini menyediakan pelbagai informasi berguna yang dikhaskan untuk komuniti Muslim di Korea Selatan. Daripada senarai restoran makanan Halal sehinggalah ke waktu solat dan arah kiblat, semuanya tersedia bagi memudahkan urusan ibadah masyarakat Islam.

8. Pelancong Muslim yang datang ke Korea Selatan dilapor meningkat sebanyak 20% setiap tahun

Menurut statistik dari Korea Tourism Organization, seramai 740,000 pelancong beragama Islam datang melawat Korea Selatan pada tahun 2015. Dan bilangan itu setiap tahun semakin meningkat.

Di Seoul juga terdapat satu jalan yang diberi nama Itaewon Street di mana ia dipenuhi dengan restoran Halal, pasar raya dengan sumber makanan Halal dan macam-macam lagi. Bukan sahaja Muslim, Itaewon Street turut menarik perhatian warga Korea untuk datang melawat terutamanya pada hari minggu kerana terdapat pelbagai restoran yang menyediakan hidangan dari India, Pakistan, Turki dan lain-lain lagi.

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik tentang travel di SAYS: