Pesara Jadi Jutawan Lepas Jual Kad Pokemon RM8.57 Juta Dalam Acara Bidaan

Koleksi tersebut dibiarkan tersimpan di loteng rumahnya selama 15 tahun.

Cover ImageCover image via BBC & Shiny Ball

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang pesara penghias dalaman di UK menjadi jutawan selepas melelong koleksi kad permainan Pokémon dengan harga hampir USD2.1 juta (RM8.57 juta)

Menerusi laporan BBC, penjual tersebut, seorang penduduk Woking di Surrey yang tidak mahu namanya didedahkan, mula mengumpul koleksi kad itu pada penghujung tahun 1990-an, apabila anak lelakinya yang masih kecil menunjukkan minat mendalam untuk bertukar-tukar kad tersebut dengan rakan-rakan di sekolah.

Tertarik dengan reka bentuk seni pada kad-kad itu dan menjangkakan nilainya mungkin meningkat dari semasa ke semasa, dia mula membeli set kad lengkap melalui eBay, termasuk beberapa keping kad yang jarang ditemui daripada seorang penjual di Malaysia.

Sementara anaknya bermain menggunakan set kad biasa, si bapa menyimpan koleksi yang masih dalam keadaan sempurna itu di dalam fail khas, sebelum akhirnya menyimpannya di loteng setelah kegilaan terhadap kad tersebut reda.

SAYS.com
Image via BBC

Satu koleksi lengkap, yang pada asalnya hanya menelan belanja sebanyak USD400 (RM1,634) pada penghujung tahun 1990-an, telah dijual dengan harga melebihi USD100,000 (RM408,400) melalui lelongan

Pesara itu menyedari nilai koleksinya selepas membaca sebuah artikel daripada akhbar tempatan mengenai sekeping kad Pokémon yang berjaya dijual dengan harga melebihi USD8,000 (RM32,672).

Memandangkan koleksi yang telah lama disimpan itu mungkin bernilai tinggi, dia membawa set-set tersebut ke rumah lelong Ewbank's di Surrey.

Kakitangan di situ berasa kagum apabila melihat 42 set lengkap yang terpelihara dengan sempurna. Kesemua set itu dilelong, kecuali satu set.

Pada 21 Oktober, koleksi tersebut dilelong, mencetuskan persaingan sengit dalam kalangan pengumpul dari seluruh dunia

Item paling menarik perhatian pada sesi lelongan itu adalah satu set lengkap 'Legendary Collection' yang sangat jarang ditemui, termasuk kad Charizard dalam keadaan hampir sempurna, telah terjual pada harga kira-kira USD134,000 (RM547,256). Angka ini jauh melebihi anggaran awal lelongan yang diletakkan pada julat USD20,000 hingga USD27,000 (RM81,680 hingga RM110,268).

Ewbank's menyifatkan lelongan ini sebagai jualan tunggal paling berjaya dalam tempoh lebih 30 tahun, sekali gus mencatat rekod kebangsaan di UK dan berkemungkinan besar menjadi penanda aras baharu bagi lelongan kad koleksi di Eropah.

Jumlah keseluruhan jualan ini mengatasi rekod tertinggi sebelum ini di Britain, iaitu sebanyak USD1.17 juta (RM4.78 juta), yang dicatatkan di Stanley Gibbons, London, pada 9 Oktober.

SAYS.com
Image via BBC

Pelelong Andrew Ewbank menyatakan bahawa lonjakan global dalam penilaian kad dagangan sebahagian besarnya didorong oleh rasa nostalgia

Para peminat yang membesar dengan francais dari Jepun itu kini mempunyai pendapatan lebihan untuk mendapatkan kembali kenangan zaman kanak-kanak yang begitu bermakna bagi mereka.

Dia menasihatkan orang ramai tidak membuang mainan atau barang koleksi yang tidak lagi diingini, sambil menambah bahawa barangan yang telah dilupakan dan disimpan di suatu tempat kadangkala boleh membawa kekayaan yang mampu mengubah kehidupan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: