Planworth & MTDC Jalin Kerjasama Strategik Bantu PMKS, Peruntuk RM1 Bilion Dana Pembiayaan Bagi Tahun 2026
Difahamkan, ketika ini ramai usahawan berdepan cabaran aliran tunai serta kekangan modal kerja.
Cover image via PlanworthFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Planworth Global Factoring Sdn. Bhd. menjalin kerjasama strategik bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi memperluas akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada penyelesaian pembiayaan projek yang lebih fleksibel, inklusif dan mampan
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MoU berkenaan ditandatangani Pengarah Eksekutif Planworth, Puan Elaine Lim, bagi pihak Planworth dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Planworth, Puan Stella Yen. MTDC pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Haji Hazani Hassan, manakala majlis berkenaan turut disaksikan Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Korporat Kumpulan MTDC, Encik Mohammad Farish.
Puan Elaine berkata, kerjasama strategik bersama MTDC itu adalah langkah penting dalam usaha memperluas akses PMKS kepada penyelesaian pembiayaan yang lebih fleksibel dan responsif, khususnya ketika ramai usahawan berdepan cabaran aliran tunai serta kekangan modal kerja.
"Ramai usahawan mempunyai potensi serta peluang perniagaan yang besar, namun masih berdepan cabaran aliran tunai dan kekangan modal kerja untuk melaksanakan projek. Melalui gabungan kepakaran dan rangkaian kedua-dua organisasi, kami berharap kerjasama ini dapat membantu lebih banyak PMKS merealisasikan peluang perniagaan, melaksanakan projek dengan lebih yakin serta memperkukuh daya saing mereka," katanya.
Tambah Elaine, inisiatif itu juga diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem PMKS yang lebih kukuh, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

Sementara itu, Ts. Haji Hazani berkata, kerjasama bersama Planworth dapat melengkapkan usaha MTDC dalam memperkasa ekosistem teknologi dan inovasi negara, khususnya dalam membantu PMKS yang memerlukan sokongan pembiayaan untuk berkembang.
"MTDC sentiasa komited memperkukuh pembangunan teknologi dan inovasi tempatan melalui sokongan pembiayaan, pembangunan kapasiti serta pengkomersialan teknologi. Kerjasama bersama Planworth ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada PMKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan projek yang sesuai, sekali gus membantu mereka meningkatkan keupayaan pelaksanaan, daya saing dan potensi pertumbuhan," katanya.
Penyelesaian pembiayaan komprehensif mendepani cabaran PMKS
Kerjasama berkenaan diwujudkan ketika PMKS terus berdepan pelbagai cabaran perniagaan termasuk peningkatan kos operasi, tempoh pembayaran projek yang panjang, tekanan aliran tunai dan keperluan modal untuk memulakan atau menyiapkan projek.
Sebagai rakan pembiayaan strategik, Planworth akan menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan komprehensif termasuk pembiayaan kontrak dan modal kerja, pembiayaan invois, kemudahan berkaitan jaminan bank, bon pelaksanaan projek serta pembiayaan rantaian bekalan.
Kemudahan itu direka bagi membantu PMKS meningkatkan aliran tunai, memenuhi keperluan modal kerja dan memastikan pelaksanaan projek berjalan lebih lancar tanpa menjejaskan operasi harian syarikat.
Dalam pada itu, kerjasama antara Planworth dan MTDC turut memberi tumpuan kepada usaha membina kapasiti PMKS supaya mampu berkembang secara mampan, meningkatkan daya saing dan merebut lebih banyak peluang dalam projek sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Kedudukan kukuh dan peruntukan dana RM1 bilion
Planworth yang juga sebahagian daripada Grand Columbia Group, sebuah kumpulan antarabangsa yang beroperasi di rantau Asia Pasifik, disokong kepakaran luas dalam sektor perbankan, kewangan, insurans, pembangunan hartanah dan pembuatan.
Dengan operasi di hab utama termasuk Malaysia, Singapura, China dan Papua New Guinea, Planworth berada pada kedudukan kukuh untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan yang mampan, responsif dan berskala kepada PMKS di Malaysia.
Setakat ini, Planworth sudah menyokong nilai kontrak melebihi RM5 bilion menerusi lebih 50,000 transaksi kepada syarikat daripada pelbagai sektor industri, sekali gus membantu ribuan PMKS melaksanakan projek serta memperkukuh aliran tunai perniagaan mereka.
Bagi tahun 2026, Planworth memperuntukkan RM1 bilion pembiayaan bagi membantu lebih ramai PMKS mendapatkan akses kepada modal kerja dan pembiayaan projek untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.
Planworth turut menerima pelbagai pengiktirafan industri di Malaysia dan Singapura termasuk Enterprise 50 (E50) Award 2024, selain berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan ePerolehan. Pendaftaran itu memperkukuh kedudukan Planworth sebagai rakan pembiayaan pilihan bagi syarikat yang melaksanakan projek sektor kerajaan, GLC dan sektor swasta.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MTDC memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan teknologi dan inovasi negara melalui inisiatif pembiayaan, pembangunan kapasiti serta pengkomersialan teknologi. Kerjasama strategik itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara serta menyokong aspirasi pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


