PMX Sokong ICC Keluar Waran Tangkap Pada Netanyahu & Gallant Atas Jenayah Perang Di Gaza
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu amat wajar kerana ia dibuat berdasarkan undang-undang serta bukti.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant
Menerusi laporan Sinar Harian, ICC menyatakan pihaknya sudah mendapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant memikul tanggungjawab terhadap jenayah perang kelaparan sebagai kaedah peperangan, serta jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan, penganiayaan dan tindakan tidak berperikemanusiaan.
"Kedua-duanya didapati melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang sejak 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024 iaitu hari pihak pendakwaan memfailkan permohonan waran tangkap ke atas mereka," menerusi dalam satu kenyataan.
Waran tangkap itu diklasifikasikan sebagai 'sulit' untuk melindungi saksi dan proses siasatan.
"ICC memutuskan untuk mengumumkan perkara tersebut berikutan jenayah dilakukan mereka masih berterusan. Waran tangkap ini dikeluarkan demi kepentingan mangsa dan keluarga mereka," jelasnya lagi.
Perdana menteri anggap keputusan ICC adalah wajar
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut amat wajar kerana ia dibuat berdasarkan undang-undang serta bukti.
Malaysia menyifatkan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant sebagai kemenangan kepada mereka menegakkan keadilan.
"(Keputusan) ICC wajar kerana ia berlandaskan hukum dan bukti mengenai kezaliman penindasan dan pembunuhan berterusan.
"Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (Netanyahu dan Gallant) ke luar (negara), harus ditangkap," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau difahamkan ada beberapa negara Eropah yang sudah membuat kenyataan berhubung waran tangkap berkenaan.
"Ini suatu pengesahan mengenai apa yang berlaku selama ini, yang kadang-kadang dipertikaikan oleh sebahagian orang, kerana ICC adalah badan yang memutuskan berdasarkan hukum dan bukti.
"Ini adalah kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan, tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza," katanya.
Ditanya mengenai tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menolak keputusan ICC itu, Perdana Menteri berkata, itu adalah keputusan negara berkenaan.
"Itu keputusan AS, tapi saya rasa keputusan dunia adalah sebaliknya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!