Lelaki Mengamuk Tengah Jalan, Tumbuk & Tendang Pemandu Di Lampu Isyarat
Seorang wanita yang dipercayai isteri suspek dilihat bergegas mendapatkan lelaki tersebut sambil mendukung seorang bayi bagi menenangkan keadaan.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tular di media sosial seorang lelaki bertindak agresif dengan menyerang seorang pemandu di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, Melaka
Menurut laporan Berita Harian, suspek yang memandu sebuah Proton Saga memberhentikan kenderaannya secara mengejut sebelum keluar dan menghampiri sebuah kereta lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Lelaki berkenaan kemudian dilihat menumbuk cermin tingkap sebelah kiri kereta tersebut beberapa kali sebelum membuka pintu kenderaan itu.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila suspek bertindak memukul serta menendang pemandu kereta terbabit berulang kali tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain yang menyaksikan kejadian itu.

Dalam rakaman sama, seorang wanita yang dipercayai isteri suspek dilihat bergegas mendapatkan lelaki tersebut sambil mendukung seorang bayi bagi menenangkan keadaan dan menghalangnya daripada terus bertindak ganas
Namun, suspek yang masih berang dilihat sekali lagi menghampiri mangsa sambil memarahinya sebelum keadaan kembali reda.
Rakaman kejadian yang dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya di belakang kedua-dua kenderaan itu kemudian tular di media sosial dan mengundang kecaman ramai terhadap tindakan suspek.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham dan rasa tidak puas hati ketika menggunakan jalan raya.
Menurut beliau, kedua-dua individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung insiden yang berlaku sekitar jam 6.20 petang semalam.

Katanya, kedua-dua pihak akhirnya mencapai persefahaman dan memilih untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik tanpa meneruskan tindakan lanjut.
"Mereka turut menyatakan kekesalan atas kejadian itu serta berjanji akan lebih berhati-hati dan mengawal emosi ketika berada di jalan raya pada masa akan datang," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


