Pelancong Malaysia Dikecam Ramai Lepas Didakwa Kutuk Bau Badan Warga China
Ramai berpendapat tindakannya melampaui batas.
Cover image via @heyyyywiwies (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tindakan seorang wanita bersama beberapa rakannya ketika melancong di China mengundang kecaman netizen selepas didakwa memperlekehkan bau badan penduduk tempatan dan memuat naik rakaman tersebut ke media sosial
Perkara itu menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi semula video berkenaan sambil mempersoalkan sikap wanita tersebut yang dianggap tidak menghormati masyarakat di negara yang dikunjunginya.
Menurut dakwaan yang tular, wanita berkenaan bukan sahaja menunjukkan reaksi keterlaluan dengan menjerit dan menutup hidung secara dramatik, malah turut merakam wajah beberapa individu yang berada di sekelilingnya.
Difahamkan, individu yang dirakam termasuk keluarga yang membawa anak kecil, warga emas serta pemandu e-hailing.
Lebih mengundang kritikan apabila wanita itu didakwa mengulas mengenai bau badan mereka menggunakan bahasa Melayu sebelum video tersebut dimuat naik ke akaun TikTok miliknya.

Netizen anggap tindakan tidak beradab
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak sensitif dan mencerminkan sikap tidak beradab ketika berada di negara orang.
Ada yang berpendapat sesiapa sahaja berhak berasa kurang selesa dalam situasi tertentu, namun perkara itu tidak sepatutnya dijadikan bahan kandungan media sosial sehingga melibatkan individu lain tanpa kebenaran.
"Kalau tak selesa, tutup hidung senyap-senyap sudah. Tak perlu jerit atau rakam muka orang," tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen berkata perkara yang lebih memalukan bukanlah isu bau badan, sebaliknya cara seseorang itu bertindak terhadap orang lain di tempat awam.
Bimbang jejaskan imej rakyat Malaysia
Dalam masa sama, ada yang mengingatkan bahawa tindakan segelintir pelancong boleh memberi kesan kepada persepsi masyarakat luar terhadap rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Malah, mereka turut meluahkan kebimbangan kerana ramai rakyat Malaysia yang menetap, belajar dan bekerja di luar negara terpaksa berdepan stereotaip akibat perbuatan individu tertentu.
Susulan itu, ramai berharap orang ramai lebih menjaga adab dan menghormati budaya serta masyarakat setempat ketika melancong ke negara lain, lebih-lebih lagi pada era media sosial di mana setiap tindakan mudah menjadi perhatian umum.
Lihat video itu di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


