Putrajaya Lancar Perkhidmatan Bas Tanpa Pemandu, Tambang Hanya RM1 Bagi Setiap Perjalanan
Boleh cuba bila pergi Putrajaya nanti!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jika anda ternampak bas bergerak di sekitar Putrajaya tanpa pemandu di tempat duduk pemandu, jangan terkejut!
Ini kerana perkhidmatan bas awam Nadiputra Putrajaya telah menerima sebuah bas autonomi baharu untuk membawa penumpang di sekitar pusat pentadbiran tersebut.
Menurut Perbadanan Putrajaya, bas perantara elektrik autonomi itu secara rasminya mula beroperasi di Laluan P113, yang menghubungkan MRT Putrajaya Sentral dengan Dataran Gemilang, bermula hari ini, 7 Oktober.
"Nikmati pengalaman baharu menaiki pengangkutan awam yang menggabungkan teknologi elektrik dan autonomi dalam perjalanan anda di Putrajaya.," katanya.

Perkhidmatan ini dikendalikan dengan kerjasama eMoovit, sebuah syarikat teknologi Malaysia yang mengkhusus dalam teknologi pemanduan autonomi
Kenderaan autonomi tersebut menggunakan penderia LiDAR (Light Detection and Ranging), radar, kamera dan penderia ultrasonik untuk mengesan serta mengemudi persekitarannya.
Menurut laman web eMoovit, syarikat itu turut mengendalikan perkhidmatan bas elektrik autonomi di Cyberjaya.

Laluan bas baharu P113 tersebut beroperasi dari Isnin hingga Jumaat
Laluan P113 mempunyai enam hentian sebelum akan kembali semula ke MRT Putrajaya Sentral:
– MRT Putrajaya Sentral
– Kementerian Kewangan
– Istana Kehakiman
– Kementerian Belia & Sukan
– Dataran Gemilang
– Kompleks Perbadanan Putrajaya
Anda boleh menaiki bas pada waktu pelepasan berikut:
Pagi: 7.15 pagi, 8.15 pagi, 9.15 pagi dan 10.15 pagi
Petang: 2.45 petang, 3.45 petang, 4.45 petang dan 5.45 petang
Tambang ialah RM1 bagi setiap perjalanan. Bas ini menerima pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit atau kredit Visa dan Mastercard sahaja.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via