Ramai Tak Tahu Guna 'Air Fryer' Dengan Cara Yang Betul, Ini 7 Kesilapan Anda Perlu Elakkan
Ramai yang sering lakukan kesalahan ini.
Pada zaman sekarang air fryer menjadi satu barang keperluan buat suri rumah kerana ia amat memudahkan proses untuk memasak
Barangan memasak elektronik memang telah memudahkan kerja ibu dan suri rumah tangga ketika berada di dapur. Mana tidaknya dengan kecanggihan teknologi masa kini, semuanya boleh dilakukan dengan pantas dan senang.
Antara salah satu barangan yang sudah menjadi keperluan di dapur adalah air fryer. Alat ini dianggap sangat cekap dalam menyajikan makanan yang lebih sihat.
Jadi tidak hairanlah mengapa ramai yang suka memasak menggunakan air fryer berbanding gas di dapur kerana ia lebih menyihatkan.
Namun, ramai orang telah menggunakan air fryer ini dengan cara yang salah. Jika anda teringin atau pun sudah memilikinya di rumah, ini perkara penting yang anda perlu tahu mengenai air fryer:
1. Masukkan makanan terlalu banyak ke dalam air fryer
Walaupun air fryer telah menetapkan kapasiti maksimum, tetapi anda dinasihatkan agar tidak memasukkan makanan terlalu banyak ke dalamnya. Hal ini kerana alat ini menggunakan udara panas untuk membuatkan makanan lebih masak dengan hasil yang sempurna.
Namun, jika makanan terlalu banyak ia akan membuatkan putaran udara panas tidak menjadi rata. Hasilnya, makanan pun akan menjadi mentah dan kurang sedap. Jadi, jangan lakukan kesalahan ini ya.
2. Tidak memanaskan air fryer dulu sebelum digunakan
Antara kesalahan lain yang sering terjadi dan anda tidak sedar adalah tidak memanaskan air fryer sebelum menggunakannya.
Konsep menggunakan alatan ini adalah sama saja seperti cara anda menggoreng, perlu memanaskan kuali dulu sebelum meletakkan makanan.
Jadi begitulah cara yang sama perlu dilakukan semasa menggunakan air fryer. Panaskan selama lebih kurang 5 hingga 7 minit dulu sebelum memasak apa-apa makanan.
3. Memasukkan makanan terlalu basah ke dalam air fryer
Jangan hairan mengapa ada ayam dan daging anda yang dimasukkan ke dalam air fryer tidak masak sepenuhnya.
Hal ini kerana keadaan daging atau ayam yang terlalu basah boleh membuatkan hasilnya menjadi kurang masak jika dibandingkan dengan menggunakan kuali.
Jadi, adalah penting untuk anda mengeringkan makanan terlebih dulu sebelum goreng menggunakan air fryer.
4. Tidak membersihkan air fryer sebelum guna
Sama seperti peralatan memasak di rumah, air fryer juga perlu dibersihkan secara kerap. Malah, ia harus terus dicuci selepas digunakan.
Ramai orang sering melakukan kesalahan ini kerana kurang mengambil berat tentang kebersihan air fryer mereka. Jika anda jarang membersihkannya, ia akan menjejaskan rasa makanan anda.
5. Tidak terbalikkan makanan semasa memasak
Ramai yang menganggap bahawa selepas makanan dimasukkan ke dalam air fryer boleh dibiarkan dan ditinggalkan sehingga ia masak sendiri.
Sebenarnya anda salah, lebih-lebih lagi jika anda memasak daging, ayam atau makanan berat yang lain. Anda perlu memerhatikan kembali kematangan makanan tersebut dan perlu terbalikkannya setiap beberapa minit untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan.
6. Tidak menetapkan suhu yang betul
Ini juga antara kesalahan yang sering dilakukan dan terlepas pandang oleh ramai orang ketika menggunakan air fryer.
Sebelum memasukkan makanan ke dalam air fryer, anda perlu menetapkan suhu dan masa yang sesuai untuk makanan itu. Anda juga boleh lihat pada buku manual yang disediakan untuk lebih tahu cara memasak pelbagai jenis makanan.
7. Tidak meletakkan minyak langsung
Walaupun air fryer dikenali sebagai alat yang dapat menghasilkan makanan lebih sihat dan boleh digoreng tanpa minyak, tetapi ia tidak bermakna anda tidak perlu menggunakan minyak langsung.
Anda perlu menggunakan minyak pada kuantiti yang sedikit dengan hanya sekadar oleskan pada makanan. Ia akan membuatkan hasil makanan anda lebih masak dan rangup.
Jadi, jangan takut untuk menggunakan sedikit minyak pada makanan sebelum memasukkannya ke dalam air fryer.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk menggunakan air fryer dengan cara yang betul :)