Rangkuman Penuh Kes Amuk 4 Wanita Terhadap Pemandu Teksi. Siapa Yang Salah?
Semuanya bermula apabila satu daripada dua klip video menjadi viral di Facebook.
[TERKINI] Bapa 'Gadis Myvi' Didakwa Cederakan Pemandu Teksi
Bapa kepada empat beradik yang bergaduh dengan seorang pemandu teksi di kawasan stesen minyak akhir bulan lepas, semalam dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan pemandu teksi itu.
Lelaki itu didakwa mencederakan Azmi Mat Mokhtar, 54, di hadapan Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Persiaran Kayangan, Seksyen 9 kira-kira 4.30 petang pada 29 Mac lepas.
Syed Fareid Yahya, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin membenarkan Syed Fareid dibebaskan dengan jaminan RM2,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes
Syed Fareid didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N.Parimalaah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000.
Peguam Azad Bashir yang mewakili Syed Fareid, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,500 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat daripada tujuh anaknya.
6 April: 'Cikgu Azmi' boleh dihukum penjara maksimum lima tahun
Cikgu Azmi didakwa atas empat tuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Dalam tuduhan pertama di Mahkamah Majistret 2, Azmi Mat Mokhtar, 54, didakwa menyebabkan kerosakan kereta Perodua MyVi milik Sharifah Fara Difla Syed Fareid, 28, dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, 29 Mac lalu di sebuah stesen minyak di Seksyen 7.
Dalam tuduhan kedua, ketiga dan keempat pula Azmi didakwa menumbuk dan menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik iaitu Sharifah Fara Difla; Sharifah Fara Afzan, 27, dan Sharifah Fara Ryyana, 24.
Bagaimanapun Azmi mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan. Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.
Untuk tuduhan pertama Azmi didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat Azmi didakwa di bawah Seksyen 323 KK yang boleh dihukum penjara setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.
Untuk tuduhan pertama, Majistret Ellyana Razali menetapkan jaminan RM2,500 manakala bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan jaminan masing-masing RM1,500.
3 April: [SAYS BONGKAR] Pemandu teksi Encik Azmi pernah terlibat dalam satu lagi kes buli pada 2013
Hasil siasatan lanjut SAYS mendapati pemandu teksi dalam kes 'amuk' ini, pernah terlibat dalam kes buli dua tahun lalu
Sumber SAYS Seismik menemui laporan polis yang dibuat pada tahun 2013 oleh seorang mangsa, juga di balai polis Shah Alam.
Menurut mangsa 19 tahun, pemandu teksi terbabit, Azmi Mokhtar tiba-tiba memasuki laluan secara mengejut sehingga memaksanya untuk brek.
Mangsa kemudian membunyikan hon kepada Encik Azmi, yang seterusnya bertindak bersaing dengan mangsa dan mengeluarkan kata-kata kesat. Ia tidak terhenti di situ.
Baca laporan penuh yang kami temui di bawah:
Encik Azmi juga telah mengugut mangsa sehingga mangsa membuat laporan kedua untuk perlindungan keselamatannya
Selain membuat laporan kemalangan kepada polis trafik, mangsa yang sama juga telah melaporkan ugutan Encik Azmi terhadapnya kerana terdengar ugutan Azmi yang suruh beliau berwaspada kerana dia akan "lakukan sesuatu".
Mangsa yang ingin melindungi keselamatan dirinya dan keluarganya mengaku takut kes "dibunuh, dilanggar lagi" dan fobia untuk memandu setelah insiden itu berlaku.
Baca laporan penuh kedua:
Persoalannya, jika apa yang dilaporkan kepada polis ini benar, kenapa Encik Azmi masih lagi dibenarkan memandu teksi?
29 Mac: Kecoh, heboh dan gamat laman sosial negara dengan satu kes dimana tiga wanita dirakam mengamuk terhadap seorang pemandu teksi di Shah Alam pada Ahad.
31 Mac: Laman Facebook Oh! Media dipercayai antara yang terawal mencetuskan perbualan orang ramai sejak Selasa apabila memuat naik video dengan tajuk 'Amukan Puaka Secara Berjemaah' beserta kapsyen yang agak sarkastik
Video ini menunjukkan seolah-olah wanita-wanita ini bersifat kurang ajar terhadap pemandu teksi tersebut. Jelas terserlah perbuatan mereka menghamburkan kata-kata kesat kepadanya dengan nada suara yang tinggi.
Ia difahamkan dirakam oleh isteri kepada pemandu teksi itu.
Video tersebut terus menjadi viral dalam sekelip mata dan menjadi bualan hangat para netizen. Memandangkan kes Kiki tahun lalu masih lagi segar dalam ingatan, orang ramai terus mencemuh dan mengutuk sikap yang ditunjukkan oleh wanita-wanita terbabit.
Walau bagaimanapun, Oh! Media kemudian mendedahkan satu lagi video yang dirakam oleh salah seorang wanita berkenaan. Dan kali ini, ia memaparkan sikap pemandu teksi terbabit yang bertindak ganas terhadap mereka.
Pihak Oh! Media sekaligus mengambil tindakan untuk 'edit' posting mereka sebelum ini dengan kemaskini terbaru.
Oh! Media juga telah mencantumkan kedua-dua video itu dan menjadikannya satu video panjang berdurasi 2 minit 29 saat. Saksikannya sendiri di bawah:
Bahagian pertama: Video yang dirakam oleh isteri kepada pemandu teksi.
Bahagian kedua: Video yang dirakam oleh salah seorang wanita yang terlibat.
Setelah video dari kedua-dua pihak didedahkan kepada umum, tanggapan netizen mula berubah dan orang ramai lebih nampak punca kejadian itu sebenarnya datang dari pemandu teksi tersebut
Meskipun begitu, masih tidak ada bukti yang jelas. Soal siapa yang salah dan siapa yang betul tidak dapat dipastikan sepenuhnya.
Pada hari yang sama, bapa saudara kepada empat wanita itu memuat naik satu status yang menyatakan bahawa, pemandu teksi itu ada melakukan serangan fizikal terhadap mereka
Disertakan sekali bersama status itu beberapa keping gambar bukti kesan lebam dan luka di muka wanita-wanita berkenaan akibat ditumbuk oleh pemandu teksi terbabit
Malah beliau turut memuat naik satu gambar 'screenshot' komen daripada salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian
Di balai polis pula, bapa kepada empat wanita itu bertindak menumbuk pemandu teksi berkenaan sebaik tiba sehingga menyebabkan pendarahan di hidung
1 April: Dalam perkembangan terbaru, SAYS berpeluang menghadiri satu sidang media yang telah diadakan khas malam semalam oleh bapa kepada wanita-wanita tersebut, bersama peguam dan juga bapa saudara mereka
Sementara itu, pemandu teksi terbabit, Azmi Mat Mokhtar (atau 'Cikgu Azmi') mendakwa sebenarnya dia yang ditendang dan dipukul dahulu malah berani bersumpah atas nama Allah bahawa dia tidak memulakannya
“Sebenarnya apa yang didakwa mereka tidak benar malah saya berani bersumpah dengan nama Allah SWT saya ditendang dan dipukul dulu,” kata Azmi Mat Mokhtar, 54, pemandu teksi terbabit.
Azmi berkata, dia sedih dan terkilan selepas dituduh bertindak secara melulu. Katanya, pada hari kejadian, dia bersama isteri dalam perjalanan menemui anak saudaranya yang belajar di sebuah universiti di sini.
“Kereta dinaiki kumpulan gadis itu dipandu dalam keadaan tergopoh-gapah sebelum bergesel dengan bahagian hadapan teksi saya," katanya lagi.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? 'LIKE' Facebook SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!