Sambut Ulang Tahun Ke-5, Ashhry Atan Kini Buka Cawangan Kedua Ashhryshoshedap R & F Di JB

Bertemakan Mediterranean Santorini, Ashhryshoshedap R & F perkenal menu berasaskan makanan laut premium.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Selepas hampir lima tahun membina jenama dalam industri makanan dan minuman, pempengaruh serta usahawan, Ashhry Atan, terus mengorak langkah apabila membuka cawangan kedua restorannya, Ashhryshoshedap R & F, yang terletak di Johor Bahru, Johor

Pembukaan restoran berkonsepkan Mediterranean Santorini itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat Ashhry, 36, yang memilih gabungan rona biru dan putih sebagai identiti utama restoran baharunya.

Menurut Ashhry, inspirasi tersebut lahir daripada minatnya terhadap keindahan pantai dan seni bina Santorini yang sudah lama diimpikan.

"Saya memang sudah lama mengimpikan untuk ke Santorini. Malah, saya sepatutnya ke sana pada April 2020, namun perancangan itu tidak kesampaian akibat pandemik COVID-19. Disebabkan itu, saya membawa inspirasi Santorini ke dalam restoran ini supaya pelanggan dapat merasai sendiri suasana yang saya impikan selama ini," katanya.

SAYS.com
Image via @ashhryshoshedap (Instagram)

Selain menawarkan suasana yang lebih eksklusif dan santai, cawangan baharu itu turut memperkenalkan pilihan menu yang lebih premium berbanding cawangan pertama.

Antara tarikan utama termasuk hidangan stik, wagyu, lobster serta pelbagai pilihan makanan laut segar yang melengkapkan menu sedia ada. Harga makanan pula ditawarkan pada kadar berpatutan bermula RM20 hingga RM500, sekali gus memenuhi keperluan pelbagai kelompok pelanggan.

Cawangan kedua itu mampu menampung sehingga 100 pelanggan pada satu-satu masa, manakala cawangan pertama mempunyai kapasiti sekitar 300 pelanggan.

Anak jati Johor dan pilihan lokasi yang strategik

Bagi Ashhry, pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi pengembangan perniagaan bukanlah satu kebetulan, sebaliknya didorong oleh hubungan rapat beliau dengan negeri kelahirannya.

"Saya anak jati Johor, berasal dari Kota Tinggi. Sokongan masyarakat Johor terhadap jenama saya memang luar biasa sejak hari pertama. Tambahan pula, Johor kini menjadi antara destinasi yang menerima kunjungan pelancong dan pengunjung yang sangat tinggi. Sebab itu saya mahu terus mengukuhkan jenama Ashhry Shoshedap di negeri ini."

Beliau turut berharap pembukaan restoran itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Saya percaya usia bukan penghalang untuk berjaya. Pada usia 36 tahun, saya bersyukur kerana dapat mengembangkan perniagaan sehingga membuka cawangan kedua ketika jenama ini menghampiri ulang tahun kelima. Saya mahu membuktikan bahawa anak muda juga mampu membina empayar perniagaan sendiri jika berani bermula."

Tambahnya lagi, industri restoran di Johor dilihat sangat kompetitif dengan penguasaan pelbagai pemain industri, namun beliau optimis konsep unik serta pengalaman menjamu selera yang ditawarkan mampu menarik perhatian pelanggan.

SAYS.com
Image via @ashhryshoshedap (Instagram)

Pembukaan Ashhry Shoshedap R & F bukan sahaja menandakan perkembangan baharu buat jenama tersebut, malah menjadi simbol komitmen Ashhry dalam terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri makanan dan minuman tempatan menerusi konsep yang lebih segar, menu yang dipertingkatkan serta pengalaman menjamu selera yang berbeza.

Untuk info, cawangan kedua Ashhryshoshedap R&F terletak di Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru manakala premis pertama berpangkalan di Nongchik Riverside, Johor Bahru.

Restoran Ashhryshoshedap pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025 dengan menu yang cukup popular adalah hidangan berasaskan telur masin seperti nasi & spaghetti, asam pedas ikan pari dan pencuci mulut unik 'Kura-Kura Mencintaimu'.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS