seismik

Samsung Galaxy Buds Pro: Ulasan Penulis Selepas Guna TWS Premium Ini. Berbaloi Atau Tidak?

Selain fungsi active noise cancelling, ini antara ciri lain Samsung Galaxy Buds Pro ada.

Cover image via SAYS Seismik/Akmal Redzwan

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis sendiri serta tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.

Penggunaan True Wireless Stereo (TWS) kini semakin mendapat tempat di hati pengguna terutamanya masyarakat siber sejak kebelakangan ini

Malah, fungsinya yang mudah dan senang dikendalikan apabila membuat sambungan hanya menggunakan Bluetooth ke telefon pintar membuatkan ianya lebih popular digunakan berbanding earphone berwayar.

Melihat kepada trend terkini itu, Samsung antara salah satu jenama yang tidak terkecuali dalam mengeluarkan produk seperti TWS kepada para penggunanya.

Buktinya pada tahun ini Samsung telah melancarkan model earbuds atau TWS premium terbaru mereka menerusi model Galaxy Buds Pro.

Penulis sendiri juga berpeluang menguji earbuds terbaru ini dan memilih warna hitam (Black) berbanding lagi dua pilihan warna iaitu Phantom Violet dan Silver.

Berikut di bawah adalah ulasan penuh daripada pandangan penulis sendiri mengenai fungsi Samsung Galaxy Buds Pro ini:

1. Mempunyai fungsi mod active noise cancelling (ANC)

Penulis paling suka dengan fungsi mod ANC pada Galaxy Buds Pro ini. Korang bukan sahaja dapat membatalkan bunyi bising pada bahagian luar sewaktu mendengar muzik, malah turut boleh diaktif sewaktu tidak mendengar muzik untuk suasana yang lebih senyap.

Selain itu, Samsung juga bekerjasama dengan syarikat audio popular iaitu AKG. Ianya secara tidak langsung meningkat kualiti audio yang ada pada Galalxy Buds Pro jadi lebih baik di mana korang akan dengar bass lebih punchy dan treble pada tahap yang memuaskan.

Apa yang lebih menarik lagi, model ini juga dilengkapi sokongan perisian yang membolehkan korang memilih mod pendengaran dan equalizer mengikut minat masing-masing.

2. Tawarkan pengalaman gaming dengan bunyi yang memuaskan

Siapa je tak suka bermain game di telefon pintar bukan? Tambahan lagi games seperti Mobile Legends: Bang Bang (ML) dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG).

Penulis suka menggunakan mod ANC ketika bermain games ML dan PUBG kerana ia membuatkan penulis lebih fokus dalam bermain.

Momen paling best yang penulis boleh kongsikan adalah ketika bermain PUBG, korang akan dengar dengan jelas bunyi tapak kaki (foot steps) musuh apabila dalam mod ANC, jadi korang lebih alert dan tahu di mana kedudukan mereka berada.

3. Selain terdapat ciri ANC, fungsi ambient mode dan voice detect tidak kurang hebatnya

Fungsi ambient mode ini tawarkan pengalaman cukup luar biasa jika korang mengaktifkan ianya seolah-olah seperti korang 'bersatu' dengan alam semula jadi.

Mana tidaknya, korang mampu mendengar bunyi-bunyian luaran dengan jelas dan boleh dinaikkan sehingga 20 dB.

Ciri ini juga boleh membuatkan korang jadi 'Mak Cik Bawang', bila korang juga mampu untuk mendengar perbualan orang lain yang duduk jauh dari korang. Tak percaya, cubalah sendiri nanti dan berterima kasihlah kepada penulis kemudian.

Selain itu, fungsi lain yang menarik adalah voice detect di mana model ini cekap dalam mengesan orang yang bercakap di hadapan korang dengan mengurangkan bunyi audio.

Melalui fungsi ini korang tidak lagi perlu memberhentikan lagu dan membuka earbuds setiap kali ingin mendengar atau bercakap dengan sesiapa. Wow!

4. Rekaan earbuds kelihatan sedikit besar berbanding TWS premium yang ada di pasaran

Tampil dengan sebuah bekas yang kemas serta tampak premium, rekaannya juga tidak terlalu besar untuk mengecas dan menyimpan earbuds.

Samsung cemerlang berjaya dalam rekaan kali ini, kadang-kadang hampir terlupa penulis dibuatnya apabila berada bekas ini di dalam kocek seluar.

Fakta menarik tentang rekaan kali ini, sebagai usaha untuk menjaga alam sekitar, Samsung menggunakan bahan yang terdiri daripada sumber kitar semula.

Earbuds kali ini hadir dengan rekaan sedikit besar berbanding TWS premium yang ditawarkan di pasaran.

Tetapi sebenarnya apabila korang mencuba dan menggunakannya ianya agak selesa kerana jisimnya yang ringan walaupun rekaannya tampak kelihatan sedikit besar. 

5. Mempunyai jangka hayat bateri yang baik

Samsung menjelaskan dengan menggunakan fungsi mod ANC pada Galaxy Buds Pro ini, jangka hayat earphone korang ini boleh bertahan sehingga lima jam waktu penggunaan dan 13 jam lagi dengan bekas yang auto-charging bila anda tidak menggunakannya. 

Setelah menggunakan earbuds ini selama seminggu, selama kira-kira 3 hingga 4 jam setiap hari termasuk bermain games, penulis hanya perlu charge dua kali sahaja.

Korang boleh memeriksa hayat bateri dan menyesuaikan ciri lain melalui aplikasi Samsung Wearable atau dalam tetapan Bluetooth biasa.

Samsung Galaxy Buds Pro berbaloi atau tidak untuk beli?

Secara keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan ciri-ciri yang ada pada Samsung Galaxy Buds Pro ini.

Namun harus diingatkan sesuatu model atau barangan yang dihasilkan pastinya ada sedikit kekurangan, tetapi bagi penulis ianya tidaklah ketara dan masih boleh diterima.

Kekurangan yang ada pada earbuds ini adalah terletak pada pad sesentuh yang kurang responsif dan ANC yang masih belum mampu menapis noise dari luar secara menyeluruh atau 100%.

Walau bagaimanapun, ianya masih TWS premium terbaik di pasaran ketika ini dan ianya dijual hanya pada harga sekitar RM799 serta sangat berbaloi untuk dimiliki jika korang suka dengan ciri-ciri penulis kongsikan di atas sebelum ini. 

Untuk maklumat atau info lanjut tentang Galaxy Buds Pro daripada Samsung ini, korang boleh saja klik di sini!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik: