seismik

SJKC Kong Aik, Arau Cipta Rekod Tiada Seorang Pun Murid Bangsa Cina Yang Daftar Tahun Satu

Difahamkan, murid tahun satu yang berdaftar terdiri daripada bangsa Melayu dan Siam.

Cover image via Harian Metro

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik, Mata Ayer, Arau merekodkan tiada kemasukan murid berbangsa Cina pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan 2025/2026

Menurut laporan Harian Metro, sekolah itu yang sudah beroperasi sejak 1939 menerima 23 murid berdaftar tahun satu yang terdiri daripada bangsa Melayu dan Siam.

Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, lokaliti sekolah yang berada di kawasan penempatan majoriti Melayu ialah antara punca ibu bapa daripada bangsa bukan Cina lebih senang menghantar anak mereka ke sekolah itu.

"Faktor lokaliti memainkan peranan dalam hal ini kerana di sekeliling sekolah terutama Pekan Mata Ayer adalah kawasan majoriti bangsa Melayu serta murid Cina dilihat lebih banyak ke sekolah kebangsaan (SK).

"Ibu bapa dan penjaga murid Melayu, Siam dan India pula lebih senang ke sekolah itu disebabkan jarak dekat dengan rumah serta mengambil peluang untuk anak mempelajari Bahasa Mandarin," katanya.

Image via Buletin TV3

Walau bagaimanapun, pihaknya tidak menghalang ibu bapa atau penjaga murid bukan Cina untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah berkenaan

"Ada juga keluarga bukan Melayu yang lebih memilih untuk bersekolah di SK disebabkan dekat dengan kediaman yang memudahkan mereka untuk menghantar dan menjemput pulang anak mereka dari sekolah," katanya lagi.

Guru Besar SJK (C) Kong Aik, Leong Yong Siang pula berkata, kemasukan murid berbangsa Cina di sekolahnya semakin menurun saban tahun sebaliknya murid berbangsa Melayu, Siam dan India lebih banyak mendaftar masuk ke sekolah itu.

"Pada tahun 2023, terdapat lima murid Cina mendaftar memasuki Tahun Satu di sekolah ini namun ia menurun kepada hanya tiga orang murid sahaja tahun lalu.

"Malah, pada tahun ini, tidak ada seorang pun murid Cina mendaftar untuk memasuki Tahun Satu di sekolah ini," katanya.

Secara keseluruhan, SJKC Kong Aik, Mata Ayer mempunyai 190 orang murid dan 17 orang guru berlainan bangsa. Daripada jumlah itu, murid Melayu dan Siam mendominasi populasi murid di sekolah itu dengan terdapat 93 orang murid Melayu dan 69 murid Siam.

Manakala, hanya terdapat 19 murid berbangsa Cina sahaja yang bersekolah di situ diikuti lima orang murid India dan empat orang dari lain bangsa.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: