Subang Jaya Sebenarnya Ada ‘Doktor Mainan’, Sedia Khidmat Baiki Gajet & Mainan Favourite Anda
Kalau ada mainan rosak boleh bawa jumpa beliau!
Cover image via @parcmalaysia (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mainan atau gajet kegemaran anda rosak? jangan risau ada solusinya
Anda sebenarnya boleh berjumpa dengan seorang 'Doktor Mainan' di PARC di Subang Jaya, untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Individu yang dikenali sebagai Uncle GP atau Doktor Mainan ini menyediakan khidmat pada hari Rabu dan Jumaat, membaiki mainan yang rosak dan barang elektrik untuk komuniti di lokasi tersebut.
Daripada teddy bear lama hinggalah gajet yang rosak, beliau boleh membantu memberikan 'peluang kedua' kepada barang-barang sentimental milik anda.
"Doktor berfungsi untuk menyelamatkan nyawa, tetapi bagi saya, saya menyelamatkan mainan daripada dibuang," kongsi Uncle GP menerusi video perkongsian PARC, sebuah lokasi komuniti kreatif yang dikhaskan untuk penganjuran bengkel, acara dan inisiatif berfokus pada kemampanan.


Dan baginya, ianya bukanlah sekadar membaiki barangan
"Apabila saya berbuat demikian, saya rasa gembira kerana sesiapa yang membawa mainan itu, mereka boleh menggunakannya semula," katanya.
Satu kisah yang masih segar di fikirannya ialah tentang seorang lelaki berusia 60 tahun yang membawa sebuah teddy bear pemberian ibu semasa Krismas bertahun-tahun yang lalu. Difahamkan, selepas cuba mencucinya di mesin basuh, kepala patung tersebut tercabut.
Lelaki berkenaan kemudian membawanya kepada Uncle GP, dan dengan bantuan Aida, pembantunya yang mahir menjahit, patung itu dapat dibaiki dengan teliti.
"Apabila dia kembali untuk mengambilnya, dia sangat gembira. Seperti sebuah kehidupan kembali semula kepadanya," imbas Uncle GP.
Tambahnya, mainan bukan sahaja bermakna kepada kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas juga sering mempunyai hubungan sentimental yang mendalam dengan barangan-barangan seperti ini.


Uncle GP sebelum ini menghabiskan lebih 30 tahun bekerja sebagai jurutera di kilang-kilang yang berbeza, dengan tempoh terpanjangnya di General Electric
Satu hari, semasa berjalan-jalan di sekitar PARC, beliau perasan lokasi ini mempunyai 'perpustakaan' mainan dan berfikir beliau boleh membantu dengan membaiki mainan di sana.
Idea kecil itu akhirnya bertukar menjadi inisiatif komuniti tetap yang berpusat pada pembaikan, kemampanan dan penggunaan semula.
"Motif saya datang ke sini adalah untuk membaiki, menggunakan semula, mengitar semula," katanya.


Jika anda mempunyai mainan lama yang tidak lagi berfungsi, mainan sentimental rosak atau barangan elektrik kecil, anda boleh membawanya ke PARC berjumpa Uncle GP pada hari Rabu dan Jumaat dari 9 pagi hingga 1 tengah hari
Beberapa barang yang ditawarkannya untuk dibaiki termasuk:
– Mainan lembut dan anak patung
– Mainan bateri/elektronik
– Mainan pendidikan dengan fungsi cahaya/bunyi
– Alat tulis berbateri
– Peralatan elektrik kecil
Perkhidmatannya beroperasi dengan model bayar 'seikhlas hati', namun bayaran diagnosis minimum diperlukan.
Alamat
The XChange, PARC
Jalan SS12/1, Taman Subang Ria,
47500 Subang Jaya, Selangor
Waktu Operasi Uncle GP
9 pagi – 1 petang (Rabu dan Jumaat)
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


