Sering Buat Video Jarak Dekat, Netizen Mimik YB Syed Saddiq Melalui #SyedSaddiqChallenge!
Beberapa orang warganet mula menyahut cabaran itu dengan cara meniru mimik serta gaya yang sudah dianggap seperti 'trademark' Ahli Parlimen Muar berkenaan.
Tidak dapat dinafikan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah antara Menteri yang menjadi tumpuan orang ramai masa kini
Manakan tidak, beliau telah melakar sejarah negara apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia pada usia hanya 26 tahun sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Bukan itu sahaja, cara Syed Saddiq sentiasa lantang dan terus bersemangat tinggi menjadi suara terutamanya dalam isu-isu berkaitan golongan belia telah membuatkan beliau wajar diangkat sebagai ‘role model’ dan inspirasi terutamanya kepada generasi muda di Malaysia.
Usianya yang masih muda juga turut membuatkan beliau sehabis baik mengoptimumkan platform sosial media yang ada seperti Instagram, Twitter dan Facebook untuk berkongsi aktiviti-aktiviti dengan pengikut serta penyokong tegarnya telah menjadikan beliau antara Menteri yang sentiasa dekat di mata rakyat.
Oleh kerana sering kali memuat naik video di laman sosial, baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan itu telah menjadi bahan usikan netizen menerusi tanda pagar #SyedSaddiqChallenge
Sudah menjadi kebiasaan tatkala membuat pengumuman, Syed Saddiq akan merakam video wajahnya yang diambil dari jarak dekat dan memulakan ayatnya dengan salam pengenalan dalam tiga bahasa, “Assalamualaikum, vanakam, da jia hao”, dalam setiap video beliau.
Ekoran daripada video-video perkongsiannya itu, beberapa orang warganet mula menyahut cabaran yang diberi nama #SyedSaddiqChallenge dengan cara meniru mimik serta gaya yang sudah dianggap seperti trademark Ahli Parlimen Muar berkenaan.
Menerusi hasil tinjauan #SyedSaddiqChallenge di laman Twitter, rata-rata netizen mula memuat naik rakaman versi mereka tersendiri di laman tersebut.
Meskipun cabaran ini adalah sekadar gurauan semata-mata, namun ada yang turut merasa kurang senang dengan #SyedSaddiqChallenge ini kerana merasakan ianya seperti memperlekeh dan tidak menghormati seorang menteri.
Tapi personally penulis rasa YB Syed Saddiq cool je.
Cuma penulis teringin nak tahu YB pakai skincare apa?