seismik

"Tak Ada Otak Ke?" - Pemilik Kopitiam Marah Pelanggan Bawa Masuk Botol Air Ke Kedai Makan

Difahamkan, dia telah meminta maaf atas kejadian itu.

Cover image via 蒲种大新闻 Puchong News Group (Facebook)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang pemilik kopitiam di Puchong menjadi viral selepas dia memarahi pelanggan di kedainya

Difahamkan, dia memarahi selepas pelanggannya itu membawa masuk botol air minuman ke kedai makan berkenaan.

Insiden mula tular di laman Facebook, di mana seorang wanita mendakwa pemilik kedai kopi itu secara kasar mendekati keluarganya ketika mereka sedang menjamu selera di kedainya di Meranti Jaya.

Wanita itu berkata, ketika kejadian dia sedang makan bersama suami dan anak lelakinya. Namun, pemilik kedai kopi tiba-tiba meluru ke meja mereka dan menjerit, "Tidak dibenarkan bawa minuman dari luar, bawa keluar botol air kamu!"

"Sudah tentu kami terkejut, kenapa lelaki berkenaan tiba-tiba meluru dan menjerit seperti itu? Jadi, suami saya bertanya kepadanya mengapa dia tidak bercakap dengan baik," tulisnya.

Pemilik kedai kopi mula kelihatan marah selepas ditegur

"Dia kelihatan seperti mahu memukul suami saya! Isterinya kemudian keluar dan cuba menghalangnya. Tetapi mulut isterinya yang jahat berkata 'Jangan bergaduh dengan orang seperti ini yang tidak mempunyai wang'," katanya.

Wanita itu kemudiannya mengakui bahawa kedai itu memang mempunyai papan tanda 'Dilarang membawa minuman dari luar' dipamerkan di dinding. Bagaimanapun, mereka tidak menyedarinya kerana ini kali pertama mereka mengunjungi kedai itu.

"Kami bertiga telah memesan tiga jenis hidangan. Jika dia mahu kami memesan minuman setiap satu, itu tidak menjadi masalah. Dia boleh bertanya dengan baik, tetapi lihat bagaimana dengan sikapnya?" dia tertanya-tanya.

Video pemilik kedai kopi menjerit, "Adakah anda tidak ada otak? Sesiapa yang mempunyai otak tahu bahawa minuman di luar tidak dibenarkan!" telah menjadi tular di beberapa kumpulan komuniti Facebook Puchong.

Pemilik kedai mohon maaf selepas tular kejadian, jelaskan apa sebenarnya yang berlaku

"Apabila pelanggan dan keluarganya datang ke kedai kopi kami, kami bertanya sama ada mereka mahu memesan minuman. Kami berhenti bertanya apabila mereka memaklumkan kami tidak mahu memesan minuman," kata mereka dalam satu kenyataan di Facebook.

“Namun, kemudiannya, salah seorang pekerja kami melihat mereka minum dari botol air mereka sendiri, jadi kami keluar untuk memaklumkan polisi ‘Tiada minuman luar’ kami dan menunjukkan papan tanda yang dipasang di dinding kami.

"Kami akui nada kami di sini kurang baik ketika memaklumkan kepada pelanggan terbabit. Kami dengan ini memohon maaf atas sikap dan nada suara kami," tulis mereka.

Kedai kopi itu memberitahu bahawa mereka adalah perniagaan kecil yang bergantung kepada penjualan minuman untuk mengaut keuntungan, sebab itu mereka menetapkan peraturan itu.

Mereka juga menjelaskan, "Mengenai tuduhan pihak lain bahawa kami mengatakan 'Pelanggan yang tidak memesan minuman adalah miskin', kami telah mengesahkan bahawa tiada siapa yang berkata seperti itu. Kami berharap anda tidak akan terpedaya dengan kenyataan keterlaluan seperti itu."

Harap tak ada lagi kejadian seperti ini berlaku, kalau boleh tegur secara baik :)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: