Tak Perlu Terbang Sampai Ke Jepun, Boleh Saja Nikmati Indahnya ‘Bunga Sakura’ Di Kedah!
Pokok tekoma akan mekar dari bulan Februari hingga April tetapi tempoh puncak mekarnya adalah pada bulan Mac.
Istilah ‘hanami’ jika diterjemahkan bermaksud ‘melihat bunga’, namun dalam budaya Jepun, hanami membawa makna menikmati keindahan bunga sakura yang kembang penuh
Pada musim bunga terutamanya apabila bunga sakura sedang mekar, kebanyakan orang Jepun akan menghabiskan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan untuk berkelah di bawah pepohon sakura.
Ketika ini, kebanyakan taman dan kawasan tepi sungai akan sesak dengan manusia. Bahkan kadangkala ada juga di antara mereka yang akan membawa set barbeku, kertas lapik untuk berkelah, meja dan kerusi, serta makanan.
Bagi mereka, hanami bersamaan dengan berseronok sambil menikmati kecantikan bunga sakura.
Namun, buat yang tidak berkesempatan untuk ber-hanami di negara Jepun, usah risau kerana di negeri Kedah pun ada fenomena bunga tekoma atau pun lebih dikenali sebagai sakura Kedah ini!
Landskap bandar raya Alor Setar sekelip mata berubah apabila pokok tekoma atau pun nama saintifiknya tabebuia rosea mula mekar dengan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih sejak awal minggu ini.
Malahan boleh dikatakan sekitar bulan Mac setiap tahun bunga ini akan menjadikan pemandangan seakan-akan seperti berada di Jepun lebih-lebih lagi ketika musim bunga sakura sedang mekar.
Cantik, memang cantik. Lihat sahaja gambar-gambar di bawah ini:
Ternyata, fenomena Sakura Kedah ini sebenarnya antara event yang ditunggu-tunggu orang ramai
Difahamkan ramai akan datang dan mengambil gambar bunga-bungaan berwarna putih dan merah jambu yang mekar di sekitar bandar Alor Setar sepanjang Jalan Kuala Kedah, Jalan Langgar, dan Jalan Yan.
Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata setakat ini terdapat sejumlah 2,720 pokok tekoma yang yang ada sekarang namun mereka merancang untuk menanam lebih banyak pokok 'Sakura Kedah' ini di Jalan Kuala Kedah pada bulan Jun nanti.
Buat yang ingin melihat bunga tekoma ini dengan lebih dekat, jangan lepaskan peluang untuk ke Alor Setar sekarang, kerana dipercayai ianya akan mekar selama 14 hari.
"Pokok tekoma akan mekar dari bulan Februari hingga April tetapi tempoh puncak mekarnya adalah bulan Mac," kata Datuk Mohd Zohdi kepada The Star.