Thamaraj Cipta Sejarah Sebagai Pesilat India Negara Yang Pertama Raih Gelaran Juara Dunia
Hebat! Tahniah Thamaraj!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
V Thamaraj yang juga merupakan pesilat negara telah mencipta sejarah menjadi atlet berbangsa India pertama bergelar juara dunia di pentas final Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini
Menurut laporan Berita Harian, Thamaraj, 29, mengalahkan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek sekali gus membawa pulang pingat emas dan bergelar juara dunia.
"Saya tak dapat nak gambarkan kegembiraan ketika berjaya memenangi pertarungan akhir bertemu dengan atlet Uzbekistan.
"Saya memang mengimpikan untuk mendapatkan emas dan ia berjaya dicapai dengan bantuan dan semangat daripada keluarga, Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia), ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara).
"Terima kasih kepada Pesaka terutamanya presiden, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aishah Golbal Shah serta barisan kejurulatihan yang membantu saya sehingga meraih kejayaan ini," katanya.
Difahamkan, Thamaraj hanya menyertai pasukan kebangsaan lebih kurang setahun setengah yang lalu dan sebelum menyertai sukan silat, dia bertanding dalam sukan taekwondo bersama Angkatan Tentera
"Selepas Thamaraj memenangi gelaran juara kebangsaan pada 2022, kami memanggilnya menyertai pasukan kebangsaan. Selepas itu, dia turut meraih perak Kejohanan Asia dua kali pada 2023 dan tahun ini.
"Justeru, kami mencabarnya untuk meningkatkan prestasi dan memenangi emas di Kejohanan Dunia dan berjaya melakukannya," kata Bibi Aishah Golbal Shah, Setiausaha Agung Pesaka.
Bakal dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Menurut laporan Berita Harian, Setiausaha Persatuan Silat ATM, Mejar Noorsyahiddawati Abdullah Sani berkata, ia sebagai penghargaan buat atlet yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja itu di atas kejayaannya memenangi pingat emas dalam kategori bebas putera di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 baru-baru ini.
Katanya, selain Thamaraj seorang lagi pesilat ATM yang memenangi emas kategori silat kreatif tunggal putera di kejohanan sama iaitu Ahmad Fauzan Hadi juga akan diberikan kenaikan pangkat Sarjan.
"Mereka akan dipakaikan pangkat Sarjan pada 2 Januari ini. Ini adalah satu penghargaan buat mereka yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja.
"Mereka ini sememangnya layak untuk dipakaikan pangkat kerana telah mengharumkan nama Malaysia dan ATM di pentas antarabangsa," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!