seismik

Kisah Seorang Bapa Yang Resah Akan Anaknya Yang Kecewa Dengan Keputusan UPSR

"Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai." - Ammar Kamilin

Cover image via SAYS via Ammar Kamilin

Sedia maklum, hari ini keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah 2017 (UPSR) telah diumumkan di seluruh negara

Gambar sekadar hiasan.

Image via SKDOJ

Sedikit sebanyak, sebagai ibu bapa pastinya kita mahukan yang terbaik buat anak-anak. Bagaimanapun, apa saja keputusan yang diperoleh anak-anak seharusnya diterima dengan hati yang terbuka buat ibu bapa.

Dan baru-baru ini, Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia, berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.

Saranan yang diberikan itu nampaknya disambut baik oleh seorang pengguna Facebook, Ammar Kamilin, yang menceritakan pengalaman beliau sewaktu mengambil keputusan UPSR anaknya dahulu

Perkongsian cerita beliau telah mendapat lebih 16 ribu perkongsian di laman Facebook dan rata-rata netizen amat tersentuh dengan posting tersebut.

Mengapa beliau bersetuju dengan kenyataan menteri tersebut? Jom baca perkongsian beliau di bawah:

Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.

Betapa saya merasai pengalaman 'getir' itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.

Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, "Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni."

Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. 
Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.

Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja. 

"Encik Ammar tak pergi ambil result anak?"

"Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil."

Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.

Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. 

"Abang, dah gerak dari ofis belum?"

"Belum. Baru nak gerak." Sambil menolak kerusi merapat ke meja.

"Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn."

Gambar sekadar hiasan.

Image via Utusan Online

Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.

Ya, saya gugup.

Zulfa sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.

Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.

Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.

Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta. Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh. Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.

Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.

Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. "Abah, Zulfa nak tidur." Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.

Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.

Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.

Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.

Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.

Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.

Image via Ammar Kamilin

Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.

Tetapi dia. Bagaimana dia?

Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?

Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.

Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.

Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan 'loading'. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. 'Enter'. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.

Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.

"Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar 'result online' dah keluar. Abang dah tengok?"

"Dah." Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.

"Allah bang..." Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.

Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.

Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.

Image via sususejat.com

Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.

Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.

Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.

"Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini." Saya hanya mampu bersandar pada dinding.

Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, "Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang." Mata isteri mula berair.

Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.

"Allah, Allah, Allah..." Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.

Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.

Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.

Saya berjaya mengawal 'ego' seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Utusan Online

"Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.

Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.

Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.

Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah.... "

Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi 'pasti berjaya', apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.

Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.

Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah. 

Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.

>>>

Alhamdulillah... Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.

Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.

Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.

Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.

Ammar Kamilin
Tidak kuat melihat anak-anak berduka.

Sumber: Ammar Kamilin

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi di SAYS:

You may be interested in: