Satu Filem 3 Cerita, 'Bu, Kasih Suci' Sarat Erti Pengorbanan Ibu Dan Liku Kehidupan
Sediakan tisu semua!
'Kasih ibu bawa ke syurga'
Inilah ungkapan yang selalu kita dengar dan perlu kita hayati dalam kehidupan. Kasih sayang ibu memang tiada tandingannya. Jasa ibu tidak mungkin dapat dibalas oleh anak-anak tidak kira sehebat mana pun pengorbanan si anak terhadap ibunya.
Hubungan anak dengan ibu diibarat 'bagai air dicincang tidak akan putus'. Walaupun berlaku salah faham, kasih ibu tetap menjadi pelengkap kepada kehidupan si anak. Peribahasa ini begitu tepat digambarkan menerusi filem 'Bu, Kasih Suci' ini.
Filem 'Bu, Kasih Suci' memaparkan kisah tentang pengorbanan ibu dan liku kehidupan melalui 3 cerita berbeza yang menyayat hati
‘Bu, Kasih Suci‘ arahan sulung Jeany Amir ini mengisahkan tentang ujian dan cabaran yang perlu dihadapi oleh tiga keluarga kecil. Perselisihan faham yang sering berlaku dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan setiap keluarga ditimpa masalah.
Antara isu yang diketengahkan ialah bapa yang terlalu sibuk, kandungan berisiko, kehendak ibu vs isteri, dan banyak lagi.
Cerita 1: Konflik keluarga kecil Aishah
Pelakon hebat, Nadiya Nisaa yang memegang watak Aishah adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Aishah sering kali rasa keseorangan dan tidak dihargai apabila suaminya, Norman lakonan Rashidi Ishak terlalu komited terhadap kerjayanya sebagai seorang doktor sehingga mengabaikan keluarganya sendiri.
Anak perempuan remaja mereka, Julia lakonan Tia Sarah pula tidak gemar duduk di rumah dan lebih suka menghabiskan masa dengan menghadiri acara cosplay bersama rakan-rakanya. Dengan Norman yang terlalu sibuk dan Julia selalu keluar rumah, Aishah mula tertekan dan konflik keluarga mula tercetus.
Cerita 2: Kandungan bayi berisiko kerana usia
Selepas beberapa tahun mencuba, akhirnya pasangan Nora (Nadia Brian) dan suaminya, Hafiz (Remy Ishak) mendapat berita gembira apabila Nora disahkan hamil buat pertama kali. Malangnya, impian mereka untuk memiliki zuriat berdepan risiko tinggi kerana usia Nora telah mencecah 40 tahun.
Ujian menimpa lagi pasangan ini apabila Hafiz terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak kerana sering mengambil cuti sehingga menimbulkan konflik dengan majikan. Akan tetapi, hubungan Hafiz dan Nora semakin rapat apabila masing-masing saling memberi semangat untuk Hafiz terus menulis dan menjadi seorang novelis.
Cerita 3: Impian ibu vs kehendak isteri
Ibu yang semakin dimamah usia mengimpikan seorang cucu, tetapi si isteri pula memutuskan untuk menangguh rancangan mengandung demi kerjaya. Sebagai anak lelaki dan suami, mana satu yang perlu dituruti?
Lakonan hebat Iedil Putra yang memegang watak Zack, Mawar Rashid sebagai Diana, dan Dian P Ramlee sebagai Kak Mah berjaya menghidupkan plot cerita ini ke tahap yang mampu menitiskan air mata penonton.
Konflik tercetus lagi apabila Kak Mah dan Diana mendapat tahu syarikat Zack bekerja baru saja gulung tikar dan dia kehilangan sumber pendapatan keluarga.
Tiga kisah berbeza bertemu dalam satu tragedi
Kreativiti Jeany Amir berjaya menemukan kesemua mereka apabila garisan kehidupan semua watak mula bersilang di akhir cerita menerusi satu tragedi.
Bagaimana mereka semua ditemukan? Anda perlu saksikan sendiri filem 'Bu, kasih Suci' di pawagam seluruh Malaysia mulai 11 April 2019. Oh, jangan lupa bawa tisu banyak-banyak ya! Anda pasti menangis sebab cerita ni sedih sangat.