Tiga Lokasi Tarikan Pelancong Di Pulau Pinang Masuk Percuma 15 & 16 September Ini
Lokasi terlibat akan dibuka percuma selama dua hari.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tiga lokasi warisan di Pulau Pinang dibuka percuma selama dua hari bermula esok, 15 September 2026
Menerusi laporan Bernama, ia adalah bersempena sambutan ulang tahun kelima pengiktirafan Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta Hari Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata inisiatif tersebut akan melibatkan Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang, Kota Cornwallis dan Muzium Negeri Pulau Pinang.
"Orang ramai dan pelancong dari dalam serta luar negara dialu-alukan untuk mengambil peluang ini bagi menjejaki sejarah, menghayati warisan dan mengenali dengan lebih dekat sejarah Pulau Pinang selain menerokai kekayaan serta kepelbagaian budaya Malaysia," katanya.
Tambahnya, tempoh kemasukan percuma bagi Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang dan Kota Cornwallis dilanjutkan sehingga Oktober bagi memberikan lebih banyak masa kepada orang ramai untuk berkunjung ke lokasi terbabit.

Turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan cuti Hari Malaysia dengan berkunjung ke George Town, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO
"Pengunjung boleh memulakan perjalanan di Kota Cornwallis sebelum ke Astaka Kota Selera untuk menikmati pelbagai juadah tempatan dan seterusnya berjalan kaki merentasi Padang Kota Lama sebelum singgah bergambar di hadapan City Hall dan Town Hall.
"Mereka boleh meneruskan perjalanan ke Muzium Negeri untuk melihat koleksi, artifak dan bahan sejarah yang merakam kepelbagaian budaya, perkembangan masyarakat serta perjalanan sejarah Pulau Pinang sebelum ke destinasi akhir Galeri Automotif Muzium Negeri untuk mengetahui perkembangan sistem pengangkutan di negeri ini," katanya.
Wong memaklumkan inisiatif itu membuka peluang lebih luas untuk mendekati khazanah sejarah serta budaya Pulau Pinang melalui pengalaman yang turut menggabungkan aspek pendidikan, membolehkan pengunjung memahami dan menghargai sejarah serta kepelbagaian budaya di Malaysia yang menjadi kekuatan bersama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via