Tiga Maut Dan 179 Cedera, Pesawat Boeing 737 Terbelah Tiga Setelah Tergelincir Di Landasan
Ini kejadian kedua bulan ini di lapangan terbang itu melibatkan syarikat penerbangan sama.
Pesawat yang membawa 177 penumpang serta enam orang kru kabin terbelah tiga semasa mendarat di lapangan terbang Istanbul Sabiha Gokchen, Turki pada Rabu, 5 Februari 2020
Memetik laporan Indipendent UK, pesawat yang berlepas dari Izmir itu cuba mendarat di lapangan terbang tersebut namun tergelincir kerana cuaca buruk menyebabkan ia terbelah kepada tiga bahagian.
Menurut saksi, terdapat juga kebakaran berlaku di dalam pesawat serta penumpang dilihat keluar daripada belahan pesawat itu untuk menyelamatkan diri.
Bomba dan paramedik segera dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengawal situasi dan bantuan medikal.
Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca mengesahkan tiga kematian manakala 179 orang lagi dirawat di hospital berdekatan
Insiden itu menyebabkan lapangan terbang itu ditutup manakala berpuluh penerbangan lain terpaksa ditukarkan ke lapangan terbang Ankara ataupun dibatalkan.
Insiden ini bukanlah kali pertama berlaku di lapangan terbang itu
Awal bulan Februari, pesawat dari syarikat penerbangan sama turut berdepan dengan krisis sama apabila tergelincir sewaktu mendarat kerana hujan lebat.
Penumpang pesawat itu juga diselamatkan menggunakan gelongsor kecemasan. Insiden itu juga menyebabkan lapangan terbang ditutup selama beberapa jam.
Kata pepatah lama, malang itu tidak berbau. Namun begitu, kita haruslah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika ke mana-mana.