TUDM Terima Pesawat Pejuang FA-50M Pertama Dari Korea Selatan, Bakal Gantikan Jet Hawk
FA-50M merupakan pesawat tempur ringan yang boleh digunakan untuk latihan juruterbang.
Cover image via Malaysia GazetteFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima pesawat pejuang ringan FA-50M Block 20 pertama dari Korea Selatan pada 30 Oktober 2026, sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam usaha memodenkan aset pertahanan udara negara

Menurut laporan Malaysia Gazette, pesawat buatan Korea Aerospace Industries (KAI) itu tiba di Pangkalan Udara Labuan, Sabah, sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penghantaran berkenaan merupakan sebahagian daripada perolehan 18 pesawat FA-50M bernilai hampir RM4 bilion yang dimeterai pada Mei 2023.
Bagaimanapun, hanya sebuah pesawat tiba pada Jumaat berikutan masalah teknikal melibatkan pesawat kedua yang dijadualkan tiba bersama. Pesawat berkenaan dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Difahamkan, enam pesawat dijangka diterima menjelang April 2027, manakala keseluruhan 18 unit disasarkan lengkap menjelang Mac 2028
FA-50M merupakan pesawat tempur ringan yang boleh digunakan untuk latihan juruterbang serta melaksanakan misi pertempuran udara-ke-udara dan serangan udara-ke-darat.
Pesawat itu turut dilengkapi radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan sistem Sniper Advanced Targeting Pod bagi meningkatkan keupayaan pengesanan sasaran serta melaksanakan serangan dengan lebih tepat.

Selain itu, perolehan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha menggantikan pesawat Hawk milik TUDM yang dijadualkan ditamatkan perkhidmatannya pada 2028.
Kesemua pesawat FA-50M akan dikendalikan oleh Skuadron No. 15 yang berpangkalan di Kuantan, dengan penempatan sebahagian aset di Labuan turut dipertimbangkan.
Langkah itu dijangka membantu memperkukuh kesiapsiagaan operasi TUDM serta meningkatkan keupayaan negara dalam mempertahankan ruang udara Malaysia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


