Tular 50 Orang Di SMK Batu Kikir Terkena Histeria, 165 Pelajar Asrama Dapat Cuti 5 Hari
Ramainya sampai 50 orang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seramai 165 pelajar di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas) terpaksa diberi cuti selama lima hari ekoran kejadian histeria yang berlaku sejak Sabtu lalu
Menurut sumber, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata 50 pelajar melibatkan 19 orang lelaki dan 31 orang perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun telah mengalami histeria.
Rakaman suara mengenai kejadian pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu turut tular di media sosial tengah malam tadi. Beliau berkata, asrama itu perlu dikosongkan bagi bagi menjalani rawatan pemulihan.
Pihak asrama meminta ibu bapa segera membawa pulang anak masing-masing
Seorang wanita yang dikenali sebagai Zai berkata, dia dimaklumkan warden supaya menjemput pulang anak berikutan kejadian pelajar diserang histeria.
"Selepas Maghrib semalam, saya ke sekolah sebelum mendapati anak perempuan berusia 14 tahun dalam keadaan cemas kerana diserang histeria manakala adiknya berusia 12 tahun tidak mengalaminya.
"Ketika menjemput anak memang jelas kedengaran suara pekikan pelajar bukan saja pelajar perempuan tetapi pelajar lelaki," katanya.
Menurutnya, kejadian itu kali pertama dialami anaknya selepas masing-masing tinggal di asrama sejak dua dan empat tahun lalu. Namun, kedua-dua anaknya itu kini dalam keadaan baik dan sedang berehat di rumah.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin mengesahkan seramai 165 pelajar asrama sekolah berkenaan dibenarkan pulang selepas kejadian berlaku sejak Sabtu lalu.
"Sekolah tidak ditutup dan pembelajaran adalah seperti biasa, hanya pelajar asrama kita benarkan ibu bapa dan penjaga membawa anak mereka pulang untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.
"Berdasarkan maklumat, seramai 50 pelajar mengalami histeria dan kita masih memantau perkara ini. Keadaan ketika ini adalah stabil dan usaha pemulihan sedang dilakukan," katanya.
Walau bagaimanapun, seramai 20 pelajar tingkatan enam masih berada di asrama sekolah kerana terlibat dengan peperiksaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!