Tular Gambar Wanita Ingkar Arahan Kuarantin Duduk Rumah, 'Sengaja' Keluar Makan Di Kedai
Tindakan wanita itu boleh membawa risiko gelombang kedua Covid-19 di negara ini.
Kita semua sedia maklum, sejak beberapa hari ini terdapat peningkatan kes Covid-19 di dalam negara
Hari ini (20 Julai 2020) sahaja, terdapat 15 kes jangkitan tempatan dilaporkan dan 6 pula kes import, dengan jumlah kes yang dilaporkan positif adalah sebanyak 21 kes.
Namun begitu, di sebalik peningkatan kes yang berlaku ketika ini. Terdapat seorang wanita yang dipercayai baru pulang dari luar negara dan sedang dalam proses kuarantin wajib di rumah tular apabila dilihat makan di sebuah restoran Hanaz Cafe di Ipoh, Perak hari ini.
Menerusi hantaran seorang pengguna Facebook, Nurul Chu Hada Karim, wanita itu sedang dicari untuk tindakan undang-undang akibat melanggar perintah kuarantin wajib di rumah.
“Nurul sendiri dah hubungi Jabatan Kesihatan Negeri Perak untuk tanya pasal maklumat mak cik ini. Mereka masih siasat kes ini.
“Sebentar tadi pukul 11.23 pagi pegawai kesihatan datang kafe buat siasatan pasal kes mak cik ini. Alhamdulillah pegawai sah kan mak cik tak positif,” katanya.
Dalam pada itu, Penasihat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood menerusi laman Twitternya berkata, tindakan wanita itu boleh membawa risiko gelombang kedua Covid-19 di negara ini
“Anda dan keluarga anda memang memalukan dan kepada kafe juga yang membenarkan dia masuk serta tidak memberitahu kerana sepatutnya dia berada di bawah kuarantin.
"Langkah yang lebih ketat diperlukan. Covid-19 masih di luar sana," ujarnya.
Laman Twitter Kementerian Kesihatan turut mengulang ciapan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak sedang menyiasat kes berkenaan selepas tular gambar wanita yang memakai gelang pengesanan kuarantin tersebut
Menurut Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming, pihaknya mengambil maklum berkaitan kes wanita berkenaan.
“Tindakan serta-merta untuk menyiasat perkara ini sedang dijalankan Jabatan Kesihatan,” katanya.
Tambah Dr Ding, tindakan undang-undang akan diambil kepada wanita berkenaan sekiranya ia didapati berasas.
Beliau turut menegaskan pemegang status Individu di bawah Pengawasan (PUS) yang gagal mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di rumah masing-masing akan dikenakan tindakan undang-undang.
Semoga kes ini menjadi pengajaran untuk kita semua terutamanya kepada yang sedang dalam proses kuarantin wajib. Sila duduk di rumah!