seismik

“Mengandungi Racun Berjadual” - KKM Keluar Notis Larangan Penggunaan 9 Produk Kosmetik Ini

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, notifikasi produk-produk terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

Cover image via Google

Semalam, 15 Julai, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan dengan produk-produk kosmetik yang mempunyai racun berjadual

Datuk Dr Noor Hisham

Image via The Star

Oleh itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik yang disenaraikan di bawah kerana telah dikesan mengandungi racun berjadual.

Produk-produk terbabit adalah:

1. Deeja Cosmetics Laika Cream mengandungi Merkuri.
2. Deeja Cosmetics Zulai Cream mengandungi Hydroquinone.
3. Deeja Cosmetics Yus Cream mengandungi Hydroquinone.
4. Dnars Luvee Cream (Normal & Sensitif) mengandungi Hydroquinone.
5. Dnars Gold Lifthing Serum (Night) mengandungi Merkuri.
6. Sparkle Beauty Cream mengandungi Hydroquinone, Tretinoin & Betamesthasone 17-Valerate.
7. Sparkle Sun Day Cream mengandungi Merkuri.
8. Qeziger Age-locking Recharging Spot A.M Cream mengandungi Merkuri.
9. MS Skinz Night Cream mengandungi Merkuri.

Notifikasi untuk produk-produk kosmetik tersebut juga telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

Malah, produk-produk ini juga tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Tambahan pula, produk yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Contohnya seperti:

- Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

- Penggunaan Tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

- Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Selain itu, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Di bawah merupakan salah satu daripada kesan sampingan selepas menggunakan produk yang mengandungi racun berjadual:

KKM menggesa penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini untuk menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta.

Ini kerana penjualan dan pengedaran produk terbabit adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984.

Walau bagaimanapun, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA atau melalui aplikasi NPRA Product Status di Google Play Store.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca berita terkini hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: