Statistik Dedah Seorang Pelajar Sekolah Maut Dalam Kemalangan Motosikal Setiap 3 Hari Di Malaysia
Lebih daripada 4,300 kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah telah direkodkan antara Januari 2024 dan Ogos 2026.
Cover image via PDRMFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Antara Januari 2024 hingga Ogos 2026, seramai 304 orang pelajar sekolah telah terkorban dalam kemalangan motosikal di seluruh Malaysia, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman
Ini bermakna secara purata, lebih daripada dua orang pelajar terkorban setiap minggu, atau seorang pelajar setiap tiga hari.
Statistik tersebut, yang dilaporkan oleh New Straits Times, turut menunjukkan bahawa sebanyak 4,322 kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah telah direkodkan dalam tempoh yang sama. Ini bersamaan dengan kira-kira 4.4 kemalangan setiap hari.
Bilangan kematian dalam kalangan pelajar menunjukkan penurunan sepanjang tempoh yang dilaporkan, iaitu daripada 142 kematian pada tahun 2024 kepada 115 kematian pada tahun 2025. Sebanyak 47 kematian lagi direkodkan antara bulan Januari hingga Ogos 2026.
Pelajar berumur 15 hingga 17 tahun merangkumi sebahagian besar korban, dengan jumlah 235 kematian sepanjang tiga tempoh laporan tersebut
Pecahan mengikut kumpulan umur adalah seperti berikut:
- Umur 15 hingga 17 tahun: 110 kematian pada tahun 2024, 91 pada tahun 2025, dan 34 antara Januari hingga Ogos 2026.
- Umur 11 hingga 14 tahun: 29 kematian pada tahun 2024, 21 pada tahun 2025, dan 12 antara Januari hingga Ogos 2026.
- Umur 7 hingga 10 tahun: Sebanyak tujuh kematian dalam tempoh yang sama.
Pelajar berumur 15 hingga 17 tahun juga terlibat sebahagian besar kecederaan serius dan ringan yang direkodkan dalam kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah.
Sepanjang tiga tempoh tersebut, kumpulan umur ini mengalami 187 kecederaan serius dan 3,044 kecederaan ringan.

Sebuah motosikal Honda EX5 yang hangus terbakar susulan satu kemalangan jalan raya maut yang melibatkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dari SMK Padang Midin di Kuala Terengganu pada awal tahun ini.
Image via BernamaMenurut JSPT, kebanyakan kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah berlaku antara pukul 5 petang hingga 7 malam
Jalan-jalan negeri turut mencatatkan jumlah kejadian yang agak tinggi. Sebanyak 187 kemalangan berlaku di jalan-jalan negeri pada tahun 2024, diikuti dengan 142 kes pada tahun 2025, dan 109 kes lagi antara Januari hingga Ogos 2026.
Bagi semua kategori jalan raya, sebanyak 4,322 kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah telah direkodkan sepanjang tempoh pelaporan tersebut.
Walaupun angka keseluruhan menunjukkan trend penurunan, 304 kematian dan ribuan kecederaan yang berlaku menyerlahkan risiko berterusan yang dihadapi oleh penunggang motosikal muda di Malaysia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


