Berlari Demi Berhenti Merokok, Pesara 60 Tahun Tawan Perlumbaan IRONMAN 70.3 Langkawi
Pesara kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya menamatkan perlumbaan berkenaan baru-baru ini.
Cover image via Perlis Permai (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang bekas pemandu pelancong berusia 60 tahun, yang mula bergiat dalam sukan larian 20 tahun lalu bagi membantunya berhenti merokok, berjaya menamatkan penyertaan pertamanya dalam IRONMAN 70.3 Langkawi
Menerusi laporan New Straits Times, Ariffin Abdul Manan, yang kini menetap di Jerantut, Pahang, menyahut cabaran tersebut selepas anaknya yang berusia 28 tahun, Thiaduddin, mendaftarkannya untuk perlumbaan itu.
Acara tersebut memerlukan beliau melengkapkan renangan sejauh 1.9km, berbasikal sejauh 90km, dan larian sejauh 21.1km dalam cabaran 'half-Ironman' pertamanya.
Beliau melintasi garisan penamat dalam masa tujuh jam, 19 minit dan 57 saat, sekali gus menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta dalam kategori lelaki berusia 60–64 tahun.
Persediaan Ariffin boleh dikatakan agak unik. Daripada mengikuti jadual latihan yang ketat, beliau menyepadukan aktiviti senaman ke dalam rutin hariannya.
Di Jerantut, beliau sering berjalan kaki dari rumahnya ke Pekan Sari dan kembali semula, dengan jumlah jarak keseluruhan kira-kira 10km.
Beliau juga memberitahu NST bahawa beliau sering berlari ke masjid untuk menunaikan solat dan kembali semula, dengan jarak kira-kira 1km bagi setiap perjalanan.
Berkongsi mengenai permulaan penglibatannya, Ariffin berkata beliau pada asalnya mula berlari sebagai satu cara untuk berhenti merokok.
"Saya mahu berhenti merokok. Saya mula berlari di sekitar Tasik Titiwangsa dan bertemu dengan pelari maraton serta atlet triatlon.
"Saya berkawan dengan mereka dan mula mempelajari tentang sukan ini," katanya.

Walaupun Ariffin sudah biasa berenang sejak kecil, kerana sering berenang di kolam berhampiran rumahnya, beliau mendapati acara renang merupakan bahagian paling sukar dalam perlumbaan tersebut
Beliau mengakui dirinya bukan perenang yang mahir, melalui cabaran menggunakan kombinasi gaya dada dan gaya bebas untuk menghabiskan jarak renangan itu.
"Saya sebenarnya tidak pandai berenang dengan baik. Apabila bergerak perlahan, tubuh terasa lebih berat, jadi agak lama masa yang diambil untuk saya menamatkan renangan ini," katanya.
Acara larian pula membawa satu lagi cabaran baharu, memandangkan Ariffin tidak biasa memakai kasut larian yang nipis. Walau bagaimanapun, beliau berjaya menamatkan jarak larian tersebut tanpa mengalami sebarang lepuh pada kaki.
"Satu perkara baharu bagi saya hari ini ialah berlari dengan kasut ini. Tapaknya agak nipis, tetapi syukurlah semuanya berjalan lancar.
"Jika kaki saya melepuh, saya pasti akan menanggalkan kasut itu. Walaupun penganjur membatalkan penyertaan saya, saya tidak kisah, kerana lepuh memang sangat menyakitkan," ujarnya.
Bagi pesara yang berasal dari Kuala Lumpur ini, tiba di garisan penamat bermakna beliau telah berjaya menyempurnakan cabaran yang ditetapkan oleh anaknya.
"Saya gembira kerana tidak mengecewakan anak saya, yang mendaftarkan penyertaan saya untuk acara ini. Bukan mudah untuk menamatkannya, memandangkan ini merupakan perlumbaan 70.3 pertama saya.
"Saya sedar latihan saya tidak mencukupi. Saya bersyukur kerana dapat sampai ke garisan penamat dengan selamat," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


