[VIDEO] Dua Lelaki Maut Terjatuh Dari Kren Semasa Mengecat Bangunan Di Putrajaya
Difahamkan, kren itu jatuh ketika mangsa melakukan kerja mengecat bangunan kuarters.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dua pekerja warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terjatuh dari kren ketika melakukan kerja mengecat bangunan kuarters di Presint 8 semalam, 5 Disember
Menerusi video yang tular di laman X, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi ketika ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berada dalam bucket kren tersebut.
Difahamkan, mereka sedang melakukan kerja mengecat bangunan kemudian terjatuh dari ketinggian aras tujuh bangunan berkenaan selepas kren itu dipercayai terbalik.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Putrajaya iaitu Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Sukawan Wilkhan, 54, dan Danianto Yusak, 53, manakala seorang lagi rakan mangsa dikenali sebagai Yasin, 56, cedera parah.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah dan menyebabkan kren hilang keseimbangan lalu terbalik.
"Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di atas bucket kren untuk kerja mengecat bangunan," katanya.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan serta bedah siasat
Sementara itu, Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan 14 dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.30 pagi.
"Anggota membantu Kementerian Kesihatan dan polis mengangkat mangsa untuk dibawa masuk ke dalam ambulans dan kenderaan polis.
"Anggota turut melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan cat di lokasi kejadian dengan menggunakan satu aliran air daripada tangki jentera sehingga selesai," katanya.
Menurutnya lagi, seorang anggota bomba yang berada di luar penugasan turut membantu sewaktu awal kejadian, dengan memberikan bantuan kecemasan menerusi Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa terlibat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!