[VIDEO] Rakaman ‘Dashcam’ Kemalangan Di Bukit Ampang, Ragut Nyawa Pelajar Cemerlang Negara
DIfahamkan, Pemandu Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan itu ditahan dan akan direman hari ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kemalangan jalan raya di bukit Ampang semalam melibatkan enam kenderaan iaitu empat motosikal dan dua kereta
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata empat motosikal dinaiki enam individu termasuk dua pembonceng dirempuh sebuah Perodua Alza ketika dalam perjalanan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.
"Sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan.
"Akibat kemalangan itu, seorang lelaki berusia 20 tahun yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang lain cedera dan di bawa ke Hospital Ampang untuk rawatan," katanya.
Lelaki berusia 27 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Alza berkenaan telah ditahan dan akan direman hari ini
Tambah Naazron, pemandu Perodua Alza tersebut telah ditahan dan akan direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Semua mereka yang terbabit kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun.
"Buat masa ini kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca bagaimana Perodua Alza terbabit boleh masuk ke laluan bertentangan.
"Kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," tambahnya.
Kemalangan itu turut meragut nyawa seorang pelajar cemerlang negara dalam bidang perakaunan, Aysar Zahran Saiful Alimin
Difahamkan, mangsa yang maut juga merupakan pemegang biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA Education.
Menerusi sebuah perkongsian @mypacmalaysia di Instagram, Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin difahamkan pernah meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023.
Tempat pengajian mangsa, TYMBA Education telah memberi mesej takziah di laman sosial mereka malam tadi di samping berkongsi pencapaian yang pernah diraihnya.
"Komitmen dan kecemerlangannya akan sentiasa dikenang dalam hati kami. Takziah yang mendalam buat keluarga beliau serta mentornya, iaitu tutor kami, Puan Fatimah (Alumni MyPAC).
"Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada mereka, serta menempatkan roh Aysar dalam kedamaian abadi di taman-taman syurga," tulisnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!