Wajib Rai Aidilfitri Tapi Sambutan Boleh Ditangguhkan Ekoran PKP
Umat Islam wajib menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama Syawal.
Malaysia telah menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dari 18 Mac lalu dan kini sudah memasuki fasa ketiga
Susulan daripada pelaksanaan PKP, pergerakan setiap rakyat telah dibataskan bagi membantu memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang berlaku ketika ini.
Kesan PKP pastinya dirasai oleh setiap individu. Malah susulan daripada pelaksanaan PKP, umat Islam di negara ini juga tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat tarawih di masjid ataupun surau pada bulan Ramadan yang bakal menjelma dua hari lagi.
Selain itu, pelaksanaan PKP ini juga turut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat sama ada sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh ditangguhkan lebih-lebih lagi apabila semua individu kini dilarang sama sekali untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Justeru itu, ini jawapan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menurut Dr Zulkifli setiap umat Islam harus menyambut Aidilfitri namun mereka boleh menangguhkan sambutan itu ketika PKP.
Memetik laporan, beliau berkata selepas menjalani ibadah puasa, setiap individu yang beragama Islam wajib menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama Syawal.
Menurut beliau, umat Islam mesti makan dan menunaikan solat AidilFitri dengan cara yang disarankan kerajaan agar mematuhi PKP.
“Namun, cara sambutan itu perlu memadai dan mungkin tidak sama dengan perayaan lain dan lebih kepada tradisi,” katanya.
Katanya, keputusan kemungkinan penangguhan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika PKP ini akan diputuskan melalui perbincangan Majlis Fatwa Nasional
Namun beliau mengingatkan orang ramai untuk menghadkan kunjungan antara satu sama lain semasa hari raya dengan mengadakan penjarakan sosial seperti yang dipraktikan semasa PKP.
Katanya, umat Islam di negara ini juga boleh menangguhkan sambutan ini seperti mengadakan majlis rumah terbuka yang membabitkan jumlah pengunjung yang ramai.