Wanita Indonesia Bayar Sehingga RM250 Buat MyKad Palsu Demi Dapat Kerja
Difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dua wanita warga Indonesia dedah berbelanja RM200 hingga RM250 untuk mendapatkan salinan MyKad palsu bagi memudahkan proses dapat pekerjaan selepas memasuki Malaysia secara tidak sah
Menerusi laporan New Straits Times, kedua-dua wanita berusia 37 tahun itu merupakan antara tiga warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau dokumen milik individu lain ketika 'Ops Layar' dijalankan di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang semalam.
Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Lifa dari Sulawesi mendakwa membayar RM200 bagi mendapatkan Mykad palsu selepas memasuki Malaysia pada Jun lalu.
"Saya datang ke sini hanya untuk mencari rezeki. Saya tidak tahu perbuatan ini adalah satu kesalahan.
"Saya serahkan gambar saya kepada individu yang membuat dokumen itu, lalu mereka menggantikan gambar pada kad pengenalan berkenaan dengan gambar saya.
"Saya hanya dapatkan salinan kad pengenalan ini untuk mencari kerja. Saya cuma mahu cari wang dan tidak tahu apa yang saya buat ini melanggar undang-undang," katanya.

Mendapat maklumat perkhidmatan daripada rakan senegara sendiri
Seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Rini dari Jawa Barat, mendakwa membayar kira-kira RM250 kepada kenalan yang diperkenalkan oleh rakan Indonesia untuk mendapatkan salinan kad pengenalan palsu.
Rini berkata, dia menetap di Malaysia sejak 2022 selepas memasuki Malaysia secara tidak sah.
Dia sebelum ini bekerja di sebuah kedai runcit sebelum bertukar kerja ke kilang percetakan terbabit dengan dibayar upah kira-kira RM95 sehari.
"Saya pernah diusir dari Malaysia sebelum ini dan pasport saya disenaraihitamkan, tetapi saya masuk semula menerusi laluan haram selepas membayar kira-kira enam juta rupiah," katanya.
Katanya lagi, dia memaklumkan pegawai bertugas bahawa salinan kad pengenalan palsu itu digunakan bagi memudahkan urusan mendapatkan pekerjaan.

Ops Layar dijalankan susulan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki menyalahgunakan dokumen pengenalan diri
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz berkata, seramai 67 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu, merangkumi 52 pegawai JPN dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, 10 pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya serta lima pegawai Jabatan Tenaga Kerja Selangor.
"Seramai 195 individu diperiksa, termasuk 63 warga tempatan yang mempunyai kad pengenalan sah.
"Tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun yang dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk bekerja," katanya.
Mazhad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via