Wanita Jumpa Lipas Kecil Merangkak Dalam Bekas Makanan Restoran BBQ Di Pusat Beli-Belah
Sekumpulan lipas hidup dilihat merayap di atas sebuah bekas hidangan daging mentah.
Cover image via @aqilahmaria_ (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita kongsi rasa trauma selepas menemui sekumpulan lipas hidup merayap di atas bekas hidangan daging mentah di sebuah restoran barbeku Korea pusat beli-belah MyTOWN, Kuala Lumpur
Dalam hantarannya di Threads pada Rabu, 26 Ogos, pengguna @aqilahmaria_ berkongsi video dan gambar yang menunjukkan beberapa lipas kecil merayap di sudut pinggan yang berisi daging mentah.
"Kejadian di MyTOWN semalam. Sumpah trauma! tengah lapar nampak benda macam ni. Before makan check dulu makanan korang ya" tulisnya.
Hantaran tersebut kemudiannya tular, dengan ramai netizen meluahkan rasa terkejut mereka terhadap penemuan berkenaan.
View on Threads
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan restoran itu ditutup selama dua minggu
Berikutan perkongsian tular itu, DBKL berkata Unit Sanitasi Premis Pejabat Kesihatan Zon 5 Titiwangsa, Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar telah memeriksa premis tersebut dengan segera dan mengarah penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016. Penutupan itu akan berkuat kuasa dari 26 Ogos hingga 9 September.
"Penutupan premis adalah bagi pihak terlibat melaksanakan tindakan pembetulan dan pembersihan secara menyeluruh.
"DBKL sentiasa berusaha dalam memastikan premis makanan di Kuala Lumpur mematuhi keperluan kebersihan dan kesihatan awam, sekaligus melindungi kepentingan dan keselamatan warga kota," menurut DBKL.



Sementara itu, restoran tersebut, yang tidak dinamakan dalam perkongsian asal di Threads, telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka
"Para pelanggan yang dihormati, saya menulis kenyataan ini untuk menyampaikan permohonan maaf yang paling mendalam dan ikhlas atas piawaian kebersihan yang tidak boleh diterima semasa lawatan anda baru-baru ini ke Dong Nae BBQ pada 25 Ogos," tulis pengurus restoran Lim Jung Min dalam satu kenyataan yang dikongsi di Instagram.
Lim berkata keadaan tersebut tidak mencerminkan nilai teras atau protokol operasi restoran, sambil menambah bahawa ia memandang serius keselamatan dan kebersihan makanan.
Katanya, restoran itu akan kekal ditutup untuk menjalankan pembersihan menyeluruh dan sanitasi penuh dapur dan ruang makan, selain perkhidmatan kawalan perosak profesional juga telah diupah untuk memeriksa dan merawat premis tersebut.
"Kami memahami sepenuhnya kekecewaan dan kebimbangan anda, dan kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan ini. Kami berharap dapat kembalikan kepercayaan anda, kami akan membina semula dan kembali dengan lebih kukuh," katanya.
Pusat beli-belah MyTOWN mengambil serius terhadap insiden terbabit
MyTOWN dalam satu kenyataan memaklumkan pihak mereka telah segera memeriksa premis tersebut bersama-sama pihak pengurusan restoran selepas melihat perkongsian tular itu.
"Terima kasih kerana memaklumkan perkara ini. Kami memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di premis berkenaan.
"Sejurus menerima laporan, team operasi kami telah hadir ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan segera bersama pihak tenant, dan tindakan susulan sedang diambil.
"Kami akan terus memantau perkara ini dengan teliti bagi memastikan standard kebersihan sentiasa dipatuhi demi keselesaan dan keselamatan semua pengunjung," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


