Wanita Datang Ke Hospital Untuk Melawat Rakan, Buka Tingkap Dan Terjun Dari Tingkat 5
Tekanan hidup seringkali menjadi punca.
Seorang wanita berusia 33 tahun mengalami patah tulang belakang selepas bertindak terjun dari tingkat lima Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar petang semalam
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam menyaksikan seorang wanita yang membuka tingkap hospital di tingkat lima kemudian terjun lalu terhempas di tingkat dua. Saksi kejadian sempat merakam aksi berbahaya wanita tersebut dan video berdurasi 20 saat itu tersebar di media sosial.
Menurut kenyataan Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, mangsa difahamkan datang ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk melawat rakannya.
Mangsa kemudiannya bertindak naik ke tingkat lima sebelum terjun dan terhempas di tingkat dua bangunan hospital berkenaan.
“Wanita terbabit kini diberi rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB.
“Keadaannya dilaporkan stabil dan masih sedar, manakala ujian imbasan mendapati dia patah tulang belakang," katanya dalam satu sidang media.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Yazri Ismail pula berkata, mangsa ke HSB dalam waktu melawat kemudian naik ke tingkat lima dan membuka tingkap sebelum terjun.
“Hasil temubual dengan keluarganya, mangsa disahkan menghidap sakit mental.
“Siasatan lanjut dijalankan dan mangsa kini menerima rawatan di HSB," katanya lagi.