Wanita Warga Emas Umur 101 Tahun Peluk Islam Di Shah Alam - "Hasil Dakwah Anak Sendiri"
Selepas hampir tiga dekad menanti, doa dan dakwah anak sendiri menyaksikan ibunya memeluk Islam kini termakbul.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dakwah yang disampaikan anak sendiri selama bertahun-tahun akhirnya membuka pintu hati seorang wanita warga emas apabila memeluk Islam pada usia 101 tahun di Shah Alam, Selangor baru-baru ini
Menerusi posting yang dimuat naik oleh Firdaus Wong Wai Hung di laman Facebooknya, warga emas itu bertuah kerana dikurniakan hidayah oleh Allah SWT pada usia lebih seabad.
"Saya dihubungi sahabat yang merupakan seorang peguam, Datuk Mohd Daud Leong untuk membantunya mengislamkan ibunya yang telah dia dakwah selama ini.
"Setelah bertahun-tahun lamanya Mohd Daud berdakwah kepada ibunya, akhirnya ibunya bersetuju untuk menerima dan memeluk agama Islam," katanya.
Tambah Firdaus lagi, warga emas dari Shah Alam tersebut turut mengakui bahawa penghijrahan yang dilakukannya bukan kerana dipaksa sesiapa.
"Kami bertutur dalam dialek Kantonis. ‘Mak cik, ada Chai Chai (panggilannya kepada Mohd Daud) paksa mak cik masuk Islam ke?’ Saya cuba dapatkan pengesahan kerana tiada paksaan memeluk Islam.
"Mak cik menjawab dengan tenang, ‘Tak ada la. Mana ada. Saya sendiri mahu masuk Islam’. Senang hati saya mendengar jawapan dari mak cik," ujarnya yang juga Presiden Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM).
"Bertuahnya Aunty, Allah kurniakan hidayah buatnya pada usia 101 tahun" - Firdaus Wong
Berkongsi lanjut, Firdaus memaklumkan, beliau membantu warga emas berkenaan melafazkan kalimah syahadah dalam Bahasa Arab satu demi satu dan disusuli dengan terjemahan maksud syahadah dalam dialek Kantonis.
Katanya, selesai sahaja syahadah Mohd Daud terus memeluk dan mencium ibu tercintanya.
"Ya saya faham perasaan itu. Seolah-olah saya mengimbas kembali pada tahun 2019 ketika mengislamkan ibu saya sendiri.
"Anak mana yang tidak mahu melihat ibu bapa mereka turut memeluk Islam dan bersama mereka di jannah. Mereka hanya mampu menyampai dan mengajak tetapi tidak boleh sesekali memaksa," katanya.
Dalam pada itu, menerusi temu bual bersama Harian Metro, tanggal 20 Disember lalu menjadi detik paling menggembirakan buat Datuk Mohd Daud Leong Abdullah apabila ibunya, Lee Bee Har memeluk Islam pada usia 101 tahun selepas hampir tiga dekad menanti.
Mohd Daud Leong berkata, dia dan keluarga adalah insan yang paling gembira dengan penghijrahan ibunya kerana sudah lama berdoa semoga diberi peluang melihat detik itu.
"Sebelum ini, emak sudah bersedia dan saya cuba bantu mengislamkannya, namun dia tak dapat sebut lafaz syahadah dengan betul waktu itu.
"Mungkin belum sampai masanya (memeluk Islam) ketika itu dan Jumaat lalu, ustaz (Firdaus Wong) datang rumah untuk bantu.
"Ustaz kata dia akan cuba bantu kerana semuanya dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah, waktu lafaz syahadah, sebutan emak sangat lancar dan selepas sah memeluk Islam, saya terus peluk juga menciumnya kerana itu saat yang saya tunggu sejak sekian lama," katanya.
Tidak berputus asa dan cuba untuk menarik minat ibunya terhadap Islam dengan menunjukkan teladan yang baik
"Sebenarnya, sejak memeluk Islam lebih 28 tahun lalu lagi saya sudah cuba tarik emak ikut sama namun awalnya memang susah nak sampaikan ajaran Islam kepadanya malah nampak dia berat nak dengar setiap kali saya mahu buka cerita.
"Tak mudah kerana emak insan yang melahirkan saya dan dulu pun dia ada persepsi bila masuk Islam jadi Melayu sedangkan hanya pegangan agama saja berubah bukannya keturunan.
"Tapi saya cuba ikut apa yang ustaz ajar iaitu tunjuk menerusi perbuatan dengan menjadi seorang anak yang lebih penyayang, ambil berat dan taat hingga emak nampak perubahan itu. Lama-kelamaan, emak jadi lembut hati nak terima dakwah yang cuba saya sampaikan dan nampak minatnya mendalami Islam sejak empat tahun lalu," kongsinya.
Sebagai anak, Mohd Daud Leong yang juga seorang peguam tidak akan lepas tangan sebaliknya mahu terus membimbing ibunya untuk mempelajari ajaran Islam.
"Emak nampak seronok sangat selepas peluk Islam sehingga waktu tidur pun dia tersenyum. Nampak jelas kegembiraannya kerana kami pun duduk serumah dan selain bimbing emak, saya merancang juga untuk membawanya mengerjakan umrah di Tanah Suci nanti.
"Semoga impian itu menjadi kenyataan dan saya pun berdoa dapat masuk ke dalam syurga dengan emak serta berjumpa dengannya di sana nanti," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!