Cristiano Ronaldo Luah Hasrat Peluk Agama Islam
"Ronaldo jujur dengan hasratnya untuk memeluk Islam" - Bekas penjaga gol Al-Nassr, Waleed Abdullah.
Bekas penjaga gol Al-Nassr, Waleed Abdullah membuat kenyataan mengejutkan bahawa bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo memikirkan untuk memeluk agama Islam
Menerusi laporan Harian Metro, ketika tampil dalam program televisyen baru-baru ini, Abdullah memperkatakan mengenai minat mendalam Ronaldo dengan budaya tempatan di Arab Saudi.
Menurut Abdullah, kesediaan Ronaldo untuk memeluk Islam hasil daripada hubungan baiknya dengan masyarakat Saudi.
"Ronaldo jujur dengan hasratnya untuk memeluk Islam. Dia menunjukkan minat ketika saya berbincang dengannya," kata Abdullah.
Ronaldo luangkan masa pelajari ajaran Islam dan budaya dengan konsisten bagi meningkatkan lagi hubungan persefahaman dengan rakan sepasukan di Al-Nassr
Abdullah turut merujuk kepada gaya sujud Ronaldo ketika meraikan jaringan dan galakan diberikan kepada rakan sepasukan di Al-Nassr untuk mematuhi ajaran agama antara bukti bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu menghormati tradisi dalam Islam.
Malah lebih mengejutkan lagi, ikon bola sepak itu akan memastikan rakan sepasukannya mempunyai masa untuk solat di antara sesi latihan ke sesi latihan seterusnya.
"Ketika azan berkumandang ketika latihan, Ronaldo meminta jurulatih berhenti seketika sehingga tamat azan," kata bekas penjaga gol itu.
Tambah Abdullah lagi, Ronaldo sangat berminat dengan kehidupan masyarakat tempatan ketika kali pertama tiba di Arab Saudi.
"Pada awalnya, saya rapat dengan Ronaldo kerana dia tidak biasa dengan budaya di negara ini, kelab atau aspek lain. Tetapi dia mahu belajar dan kerap bertanya saya dengan lebih lanjut," kata Abdullah.
Dia turut mendapat inspirasi untuk mempelajari lebih lanjut budaya Islam menerusi pengaruh daripada bekas rakan sepasukan Mesut Özil dan Karim Benzema.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!