Ini 8 Tempat Menarik Jika Anda Ke Pulau Jeju, Korea - "Bercuti Sambil Kenali Budaya Unik"
Nikmati keindahan alam semula jadi dan budaya Korea yang unik.
Apabila sebut sahaja melancong ke Korea pastinya ramai yang membayangkan percutian di ibu negara Korea iaitu Seoul bukan?
Tahukah anda, Korea juga mempunyai sebuah lagi destinasi percutian menarik di pulau yang lengkap dengan pelbagai kemudahan buat para pelancong iaitu Pulau Jeju.
Apa yang membuatkan Pulau Jeju ini unik adalah pemandangan yang ditawarkan serta destinasi yang terdapat di dalam pulau ini.
Tidak kira sama ada anda seorang kaki shopping, pencinta alam mahupun sedang mencari aktiviti keluarga untuk dilakukan bersama, semuanya ditawarkan di dalam sebuah pulau ini.
Baru-baru ini, SEISMIK berpeluang ke Pulau Jeju pada awal musim luruh pertengahan Oktober lalu bersama-sama dengan syarikat penerbangan tambang murah dari Singapura, Scoot dan Jeju Tourism Organization (JTO).
Jom kami kongsikan beberapa tempat menarik yang wajib anda kunjungi jika datang melancong ke Pulau Jeju:
1. Seongsan Sunrise Peak
Kalau anda ingin nikmati keindahan alam semula jadi di Pulau Jeju, antara lokasi wajib untuk anda pergi ialah Seongsan Ilchulbong atau Seogsan Sunrise Peak yang merupakan salah satu tapak Warisan Dunia UNESCO di Pulau Jeju.
Puncak Seongsan Ilchulbong atau turut dikenali sebagai Seongsan Sunrise Peak ini terhasil akibat letusan gunung berapi 100,000 tahun yang lalu.
Melalui pendakian melalui anak tangga selama 15 ke 20 minit, anda bakal menikmati keindahan Pulau Jeju secara luas dengan ditemani angin bayu yang kuat.
Walaubagaimanapun, kami yakin penat lelah anda bakal terbalas dengan pemandangan yang memukau.
2. Dongbaek (Camellia) Village
Seterusnya, lokasi menarik yang anda boleh kunjungi adalah di Dongbaek (Camellia) Village. Perkampungan ini dipenuhi dengan pokok camellia yang dijadikan salah satu ramuan untuk produk kecantikan serta kesihatan.
Sebagai rekod, pokok-pokok camelia ditanam pada tahun 1706 ketika kampung ini mula wujud dan kini perkampungan mempunyai keluasan sehingga 2,360ml dengan 90 pokok camelia.
Jika berkunjung ke sini, anda akan dibawa melakukan aktiviti mencari biji benih hinggalah melihat penyediaan minyak camellia. Malah, perkampungan ini menjadi tumpuan pelancongan sehingga seramai 10,000 pelancong melawatnya setiap tahun terutama apabila pokok camelia ini mengeluarkan bunganya.
3. Saryeoni Forest
Saryeoni Forest merupakan laluan pejalan kaki hutan yang bermula dari Bijarim-ro dan melalui Kon Gunung Berapi Mulchat Oreum dan Kon Gunung Berapi Saryeoni Oreum.
Titik permulaannya terletak di Jalan Raya Nasional No. 1112, yang dipenuhi dengan pokok cedar Jepun. Menariknya. hutan ini adalah salah satu 'dibina' oleh tangan manusia yang mana pokoknya mula ditanam sejak lebih 40 tahun lalu.
Pelbagai spesies pokok juga tumbuh di hutan ini termasuklah Pokok Oak Konara, Pokok Hornbeam Berdaun Merah, Pokok Snowbell Jepun, Pokok Cypress Hinoki, dan pokok cedar Jepun dengan ketinggian purata 550m.
Selain menjadi 'Instagrammable spots' untuk bergambar, Saryeoni Forest juga cukup popular dalam kalangan pelancong yang menggemari aktiviti jungle trekking dan sukakan alam semula jadi.
4. Haenyeo Village
Salah satu perkara yang paling unik tentang Jeju ialah kewujudan Haenyeo iaitu penyelam wanita di pulau ini.
Ada di antara Haenyeo ini berusia 80-an namun masih aktif menyelam sehingga 10 meter bawah dasar laut untuk mengutip kerang, abalone dan juga landak laut.
Menariknya mereka melakukan aktiviti ini tanpa bantuan topeng oksigen. Sebelum terjun ke dasar laut, mereka akan berdoa kepada Jamsugut iaitu Tuhan Lautan supaya diberikan keselamatan dan boleh pulang dengan selamat.
Jika ada masa terluang, silalah luangkan masa untuk mengetahui tentang warisan budaya Pulau Jeju yang amat unik ini.
5. Myeongwol Elementary School
Myeongwol Elementary School merupakan sekolah tempatan untuk kanak-kanak Kampung Myeongwol selama 40 tahun, dari tahun 1955 hingga 1993.
Selepas sekolah ini ditutup, ia sering digunakan hanya untuk acara dan sambutan perayaan di kampung. Walau bagaimanapun, ia akhirnya ditukar menjadi galeri dan kafe, dan mereka mengekalkan nama asalnya sebagai penghormatan kepada bangunan yang telah berkhidmat untuk komuniti selama bertahun-tahun.
Anda juga boleh menikmati pemandangan dan suasana di sekolah rendah ini. Hasil jualan dan keuntungan kafe ini turut dikembalikan kepada kampung untuk membantu mengembangkan ekonomi tempatan.
6. Saebyeol Oreum
Terletak di bahagian Selatan Pulau Jeju, Saebyeol Oreum merupakan ‘gunung kecil’ yang terhasil dari letusan volcanic cukup indah sekali kejadiannya.
Ia salah satu destinasi yang perlu dikunjungi untuk menyaksikan panorama sekitar Pulau Jeju dari ketinggian 520 meter.
Anda boleh menaiki tangga sambil berpaut pada tali untuk menjejaki puncak bukit Saebyeol Oreum, usai mendaki anda akan menyaksikan hamparan eulalia yang memutih memenuhi tanah tinggi ini dari bawah hingga ke puncak. Satu latar belakang foto yang cukup cantik untuk dirakam.
7. Sinchang Windmill Coastal Road
Jeju juga terkenal dengan kincir angin. Terdapat ratusan alat ini sekitar pulau terbesar di Korea Selatan ini. Berfungsi untuk membekalkan tenaga elektrik untuk pulau Jeju, salah satu lokasi terbaik untuk menyaksikan ‘mesin’ gergasi ini adalah di Sinchang Windmill Coastal Road.
Jalan yang terletak di tepian pantai ini terdapat deretan kincir angin boleh dilihat dari dekat sekaligus menjadikan sebagai tempat tumpuan pelancong bukan saja dari luar negara malah dari dalam Korea Selatan sendiri.
8. Ladang Teh Hijau O'sulloc & Innisfree
Sebut mengenai Innisfree kami yakin para wanita ini cukup tahu dengan jenama ini. Menawarkan seleksi produk penjagaan kulit yang berkualiti tinggi berjaya membuatkan jenama ini menjadi pilihan wanita di seluruh dunia.
Menariknya mengenai Innisfree Jeju House ini adalah anda berpeluang mendapatkan seleksi produk Innisfree yang eksklusif serta harga yang ditawarkan juga boleh dikatakan lebih rendah daripada yang ditawarkan di Malaysia.
Jika anda seorang pencinta Innisfree inilah tempatnya untuk anda memborong produk pilihan anda. Turut tersedia disini adalah sebuah cafe yang pada kami sangat kondusif. Innisfree Jeju House berjaya memberikan pengalaman yang tenang dan mendamaikan buat para pengunjung baik dari segi rekaan dalamannya serta suasana diluarnya.
Terletak tidak jauh daripada Innisfree Jeju House adalah Osulloc Tea Museum. Di sini anda berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai daun teh yang ditanam di Pulau Jeju secara lebih terperinci.
Selain itu, Osulloc Tea Museum turut menjadi tarikan pelancong dengan pemandangan ladang teh yang terbentang luas. Sememangnya tidak lekang dengan para pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar di ladang teh ini.
Berdasarkan pilihan destinasi yang banyak di Pulau Jeju, memang tidak cukup masanya jika anda hanya melawat dalam masa yang singkat.
Pada kami, Pulau Jeju sememangnya destinasi yang padat dengan tempat menarik. Tempatnya yang tidak sarat dengan pelancong membuatkan anda pastinya akan lebih selesa untuk menikmati percutian anda di pulau ini.
Berdasarkan perkongsian daripada Jeju Tourism Organisation difahamkan pihak pelancongan Korea masih lagi giat dan aktif dalam membangunkan lebih banyak lagi tempat perlancongan terbaru di Pulau Jeju.
Sudah pastinya lebih banyak tempat-tempat menarik yang tersedia di Pulau Jeju selain daripada yang dinyatakan di atas. Untuk maklumat lanjut mengenai Pulau Jeju, anda boleh sahaja ikuti laman rasmi Instagram JTO dan jangan lupa semak promosi terkini serta tawaran menarik daripada Scoot.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!