Isu Hukum 'Haram' Beli Emas Secara Ansuran, Ini Penjelasan Penuh Mufti Wilayah Persekutuan
Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah di sisi Islam.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang
Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli. Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial mengenai posting yang dimuat naik oleh Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum membeli emas secara ansuran.
Ikuti penjelasan penuh oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah mengenai isu berkenaan di bawah:
Soalan:
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai dahulu, kemudian baru buat pembayaran.
Ringkasan Jawapan:
Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Huraian Jawapan:
Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.
Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.
Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.
Hadis Muslim (1587)
Image via Utusan Malaysia
Jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh
Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.
(Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s 81)
Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)
Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.
Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.
Image via Harian Metro
Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,
أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”.
Musnad Ahmad (10/120)
Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli.
Hal ini walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:
1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.
2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.
(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)
Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.
Wallahu a’lam.
Image via Free Malaysia Today
Disclaimer: Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Al Kafi li al-Fatawi yang diterbitkan pada 16 Ogos 2021.
Semoga pencerahan ini dapat menambahkan ilmu untuk kita dan dapat dikongsi dengan rakan-rakan yang lain :)
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment