Peluk Islam Pada Usia 84 Tahun, Warga Emas Di United Kingdom Ini Akhirnya Terima Hidayah
Sesungguhnya, hidayah itu adalah milik Allah SWT.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Sesungguhnya Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada manusia melalui pelbagai cara
Dengan itu setiap insan perlu berusaha untuk mendapatkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT melalui cara-cara yang telah ditentukan-Nya.
Begitulah kisah seorang warga emas yang dikenali sebagai Maria atau nama Islamnya Mariam yang menetap di United Kingdom.
Menerusi sumber, beliau baru sahaja memeluk Islam pada tahun lalu ketika berusia 84 tahun. Difahamkan, beliau merupakan seorang anak yatim sejak kecil lagi.
Kisah penghijrahannya memeluk Islam bermula apabila pada musim sejuk
Menerusi perkongsiannya di Instagram @mariam_revert, ketika beliau hadir ke sebuah masjid Redbridge Islamic Centre yang terletak di Ilford, United Kingdom.
Setibanya di sana, Maria mula berasa risau jika orang yang berada di dalam masjid itu memberi tanggapan serong terhadapnya kerana beliau bukan seorang Muslim.
Bagaimanapun, tulis Mariam lagi, disebabkan perasaan ingin tahu yang sangat kuat terhadap agama Islam, beliau tetap membuat keputusan untuk menjejakkan kaki ke dalam masjid tersebut.
Dalam cuaca sejuk, Mariam tetap menggagahkan dirinya berdiri menahan kesejukan di hadapan pintu masjid.
Selepas beberapa ketika, mualaf itu memberanikan diri bertanya kepada salah seorang wanita yang berada di perkarangan masjid tersebut.
Selepas dijemput masuk, salah seorang jemaah masjid menerangkan kepadanya tentang apa yang sedang mereka lakukan.
Secara kebetulannya, hari tersebut adalah hari Jumaat yang mana sejumlah jemaah lelaki sedang menunaikan solat Jumaat.
Sepanjang berada di sana, Mariam diberi penerangan tentang ibadah sunnah dan arah kiblat umat Islam yang berpaksikan Kaabah.
Mariam mengucap syahadah di hadapan imam masjid itu dan beberapa jemaah wanita lain
Setelah mendengar segala penjelasan, Mariam terbuka hati untuk bertanya. Soalannya antara lain berbunyi:
“Bagaimana caranya untuk saya menjadi seorang Muslim? Saya nak jadi Muslim,” katanya tanpa keraguan.
Tidak lama selepas itu, Mariam mengucap syahadah di hadapan imam masjid itu dan beberapa jemaah wanita lain.
Maka, keadaannya ketika itu seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia dan bermula kehidupannya sebagai seorang mualaf.
“Sejak detik itu, saya memilih menggunakan nama Mariam bersempena nama ibunda Nabi Isa.
“Kini, saya gigih belajar tentang prinsip agama Islam,” katanya.
Bukan itu sahaja, di laman Instagramnya beliau juga aktif berkongsi rutin hariannya yang terdiri daripada belajar membaca ayat-ayat al-Quran, menghafal nama-nama Allah dan sebagainya.
Meskipun bergelar warga emas, semangat yang luar biasa untuk mempelajari tentang agama Allah membuatkan dirinya terus gigih dan bersungguh-sungguh mempelajari satu per satu tanpa mengenal erti penat.
Buktinya, menerusi satu video yang dimuat naik, Mariam dilihat gigih menggunakan cermin mata yang telah rosak sewaktu membaca surah al-Fatihah yang ditulis dalam tulisan rumi dan menyebutnya satu demi satu dengan penuh ketekunan.
Tonton video penuh detik pertama beliau mengucap syahadah itu turut dikongsi oleh dirinya sendiri menerusi laman Instagram miliknya hingga meraih lebih 100K tontonan di bawah: