#PRU15: Pengasas Brotherhood, Lando Zawawi Sah Bakal Bertanding Di Parlimen Tanjong Karang
Dia akan bertanding sebagai calon untuk Gerakan Tanah Air (GTA).
Pelakon popular, Lando Zawawi atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi mengumumkan akan bertanding sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Tanjong Karang
Menurut laporan Kosmo!, pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) itu berkata dia akan bertanding di kerusi yang agak ‘panas’ iaitu di Tanjong Karang, Selangor mewakili parti GTA.
Jelas Lando lagi, watikah pelantikan sebagai calon GTA telah diberikan dalam satu majlis yang berlangsung di Bangi Convention Centre bersama Pengerusi Gerakan Tanah Air, Tun Dr. Mahathir Mohamad petang tadi.
“Ya betul, saya akan bertanding pada PRU15 dan kawasan saya agak ‘panas’ iaitu di Tanjong Karang,” katanya.
Difahamkan, Lando akan bertanding atas tiket parti gabungan NGO-NGO di bawah Gagasan Bangsa yang merupakan komponen GTA.
Mereka ini terdiri dari aktivis-aktivis masyarakat dan NGO yang rata-ratanya tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti politik.
Tetapi kali ini, dalam PRU-15, mereka bangkit serta mahu terlibat dan memilih untuk berkempen untuk GTA.
Tujuan utamanya memasuki gelanggang politik adalah untuk ‘membetulkan’ sistem yang ada ketika ini yang dikatakan lambat bertindak
“Contohnya seperti aduan jalan berlubang, walaupun kita telah membuat laporan tetapi tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab amat perlahan dan memakan masa.
“Sebab itu saya sebagai mewakili Brotherhood mahu sistem ini ‘dikembalikan’ semula supaya setiap masalah atau aduan dapat disegerakan.
“Bukan sahaja berkaitan jalan raya tetapi melibatkan semua aduan supaya ia dapat dilaksanakan dengan pantas demi keselesaan rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama kata Lando, apabila dia berada dalam sistem kerajaan, sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan karenah birokrasi yang wujud dalam sistem pentadbiran ketika ini.
Sebagai rekod, pada PRU14 lepas, calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 1,970.
Beliau yang juga penyandang kerusi itu menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada gabungan pakatan pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Pas iaitu Nor Az Azlan Ahmad.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment