[RASMI] Tarikh Mengundi PRU15 Ditetapkan Pada Hari Sabtu, 19 November Ini - SPR
Hari penamaan calon pula jatuh pada 5 November dan tarikh untuk pengundi awal ditetapkan pada 15 November.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini (Sabtu) sebagai hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Ia turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
Sementara itu, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November ini (Sabtu).
Bagi pengundian awal pula, tarikh 15 November dipilih dan tempoh berkempen bagi PRU15 adalah 14 hari.
Sebelum ini, tempoh berkempen pada PRU14 adalah 11 hari manakalah PRU13 pula adalah 15 hari.
Seramai 21,173,638 juta pengundi layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini
Ketika mengumumkan tarikh tersebut di Pejabat SPR, Putrajaya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyatakan seramai 21,173,638 juta pengundi layak mengundi berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada pilihan raya umum kali ini, melibatkan kali pertama undi 18 tahun dan pengundi baharu automatik.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah adalah daftar pemilih terkini hingga daftar pemilih tambahan pada Ogos 2022 yang dikemaskini hingga 9 Oktober 2022 membabitkan 21,173,638 pemilih.
"Ia membabitkan 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan termasuk anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!