#PRU15: Cara Mohon Undi Pos Dalam & Luar Negara, Ini Yang Anda Kena Tahu
Cepat daftar segera sebelum tarikh tutup.
Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kini dibuka serta-merta manakala tarikh tutup pada Ahad ini, 23 Oktober 2022
Selaras dengan pengumuman pembubaran parlimen baru-baru ini, tarikh penamaan calon serta pengundian akan bergantung kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
Walau bagaimanapun, PRU15 dijangka akan diadakan selewat-lewatnya sebelum 9 Disember 2022 iaitu tempoh kurang dua bulan (60 hari) dari tarikh 10 Oktober selepas Parlimen dibubarkan.
Mungkin sukar bagi sesetengah individu yang tinggal di luar negara untuk membuat keputusan sama ada perlu pulang mengundi atau tidak.
Bukannya kurang menyayangi negara sendiri, tetapi ia selalunya tidak praktikal dari perspektif kewangan atau dari segi pengurusan masa.
Tapi jangan risau, anda masih boleh mengundi dengan cara undi pos.
Apakah kategori-kategori pengundi yang boleh mengundi pos?
i. Kategori 1A: Anggota polis dan tentera yang tidak dapat hadir undi awal kerana bertugas, petugas media yang menjalankan urusan liputan penjalanan pilihan raya, Ahli/pegawai SPR dan petugas pilihan raya. Kategori ini perlu memohon undi pos secara manual menggunakan Borang 1A.
ii. Kategori 1B: Warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara dan telah layak mengundi. Kategori ini perlu memohon undi pos secara atas talian (online) melalui portal berikut: https://myspr.spr.gov.my/login
iii. Kategori 1C: Anggota 9 Agensi Kerajaan dalam sektor kesihatan dan keselamatan. Kategori ini perlu memohon undi pos secara atas talian (online) melalui portal berikut: https://myspr.spr.gov.my/login
iv. Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara: Pegawai Kersajaan dan pasangan serta pelajar di institusi pengajian tinggi dan pasangan yang bermastautin di luar negara dan telah didaftarkan sebagai PTH luar negara. Kategori ini tidak perlu memohon undi pos kerana telah didaftarkan sebagai pengundi pos secara automatik.
Ikuti langkah dan cara mohon undi pos di bawah:
Langkah 1: Daftar akaun MySPR
1. Lawati https://myspr.spr.gov.my/login2. Daftar akaun MySPR anda
3. Aktifkan akaun pengguna
Langkah 2: Mohon undi pos
1. Log masuk ke akaun MySPR anda.2. Klik [Permohonan Undi Pos].
3. Klik [Borang Permohonan] dan pilih kategori “Pengundi Luar Negara”.
4. Lengkapkan maklumat yang diperlukan dan serahkan permohonan.
E-mel berkenaan status permohonan undi pos (diluluskan atau ditolak) akan diterima selepas permohonan diproses.
Jika permohonan saya untuk mengundi secara pos ditolak, apakah sebabnya?
Antara sebab-sebab permohonan untuk mengundi secara pos ditolak adalah seperti yang berikut:
1. Alamat surat-menyurat tidak lengkap;
2. Salah pilih kategori undi pos;
3. Bahagian perakuan tidak lengkap diisi (Kategori 1A dan 1C); dan
4. Tidak memuatnaik semula Borang 1C yang telah diperaku oleh Ketua Jabatan/Majikan ke dalam portal MySPR (Kategori 1C)
Bagaimanakah cara undi pos berfungsi?
Langkah Pertama:
Setiap kawasan akan diberi pegawai pengurus pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Mereka adalah pegawai yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyelia proses pengundian.
Apabila hari untuk mengundi semakin hampir, pegawai pengurus kawasan anda akan mengedarkan kertas undi pos dan peti undi. Anda boleh menyemak laman web SPR untuk melihat sama ada undi pos anda telah sampai.
Langkah Kedua:
SPR akan menghantar surat undi terus ke alamat pengundi di luar negara. Sebelum ini, undi telah dihantar ke pejabat kedutaan tempatan atau suruhanjaya tinggi.
Langkah Ketiga:
Anda akan dihantar satu paket undi dengan nama dan alamat anda. Ia akan dilampiri dengan Borang 2, Sampul B, dan dua sampul surat berlabel “A” untuk Parlimen dan satu untuk Negeri. Ini adalah untuk membuang undi bagi calon pilihan anda di peringkat kebangsaan dan negeri.
Sebelum anda mula mengundi, semak kertas undi anda untuk sebarang tanda, salah cetak atau kesalahan. Jika ada, anda mesti segera memberitahu kedutaan anda untuk mendapatkan pengganti.
Langkah Keempat:
Selepas anda menanda kertas undi, lipat dan letakkan semula ke dalam sampul surat masing-masing. Undi yang diletakkan dalam Sampul A yang salah tidak akan dikira, jadi anda disarankan untuk berhati-hati dengan undi anda.
Langkah Kelima:
Kembalikan sampul undi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan anda apabila selesai. Berhati-hati untuk tidak menghantar undi melalui pos biasa, sebaliknya gunakan kaedah yang diluluskan oleh SPR.
Langkah Terakhir:
Anda boleh menghantar undi anda melalui perkhidmatan kurier, tetapi anda perlu membayar kos penghantaran dengan sendiri.
Sebagai pilihan lainnnya, anda boleh mengembalikan undi anda kepada Perwakilan Malaysia (Malaysian Mission), yang akan meletakkannya di dalam Beg Diplomatik Khas dan menyerahkannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Undian mestilah sampai kepada pegawai sebelum tarikh akhir.
[KEMASKINI] Tarikh tutup permohonan adalah 2 November bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.
Sementara itu, 23 Oktober pula adalah tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 26 Oktober membabitkan kategori 1C iaitu agensi dan organisasi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!