Drama Band Dan Asfan Shah & Manusia Bakal Gegarkan Zepp KL Pada 15 Januari 2027
Konsert Malam Drama Manusia anjuran Permaico Concerto itu bakal mengetengahkan konsep persembahan berteraskan elemen fantasi, imaginasi dan emosi.
Cover image via Konsert Malam Drama ManusiaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dua kumpulan muzik tempatan, Drama Band serta Asfan Shah & Manusia, bakal berkongsi pentas menerusi persembahan julung kali Konsert Malam Drama Manusia yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari 2027
Konsert anjuran Permaico Concerto itu bakal mengetengahkan konsep persembahan berteraskan elemen fantasi, imaginasi dan emosi menerusi penyampaian lebih 25 buah lagu popular dalam tempoh persembahan melebihi dua jam bermula jam 8.30 malam.
Tarikan utama konsert ini menampilkan segmen gabungan serentak kedua-dua kumpulan di atas satu pentas, yang menghimpunkan dua vokalis, tujuh gitaris dan dua pemain dram.

Vokalis Asfan Shah & Manusia, Asfan Shah menjelaskan bahawa persembahan akan disusun secara berperingkat menerusi kemunculan berasingan setiap kumpulan sebelum digabungkan bagi memberikan pengalaman muzik interaktif dan bertenaga buat para penonton.
Pilihan karya yang bakal dipersembahkan turut merangkumi susunan muzik baharu bagi lagu-lagu runut bunyi asal (OST) drama televisyen tempatan ciptaan Asfan, termasuk single terbaharu kumpulannya bertajuk Dusta.
Kumpulan Asfan Shah & Manusia yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu turut dibarisi pemain bes Zali (New Boyz), gitaris Arash (Treehill) dan pensyarah muzik Adam Karman.
Konsert Malam Drama Manusia dijangka menjadi medan pertembungan kreativiti, tenaga dan emosi dalam sebuah persembahan yang menyatukan muzik dengan elemen fantasi

Sementara itu, vokalis Drama Band, Aepul Roza menyifatkan konsert tersebut sebagai peluang istimewa untuk berkongsi pentas dengan Asfan selepas kedua-duanya pernah bersaing dalam pertandingan muzik.
"Saya sangat teruja kerana ini konsert berskala besar pertama kami bersama. Saya dan Asfan sudah pernah bertanding dua kali di atas pentas. Ada masanya dia menang, ada masanya saya menang.
"Jadi, ini satu peluang yang sangat saya hargai," katanya.
Ditanya mengenai kejutan yang bakal disajikan, Aepul berseloroh bahawa dia mungkin membotakkan kepala atau membuat kemunculan menggunakan helikopter, namun memilih untuk merahsiakan perancangan sebenar.
Untuk maklumat lanjut mengenai pembelian tiket Konsert Malam Drama Manusia pada 15 Januari 2027, anda boleh sahaja layari https://www.ticket2u.com.my!


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


