25% Pasangan Malaysia Bawah Usia 30 Tahun Nikah Di Thailand - "Nak Halalkan Hubungan Dulu"
Tak salahkan?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kira-kira 25 peratus pasangan bawah usia 30 tahun daripada purata 500 hingga 600 pasangan dari Malaysia menikah di negara jiran dalam tempoh setahun
Menerusi laporan Harian Metro, wanita dikenali sebagai Kak Wan menawarkan khidmat urusan pernikahan sah di Thailand berkata pihaknya menerima pelbagai peringkat usia pasangan yang berhasrat bernikah termasuk sebilangan kecil kumpulan usia bawah 30 tahun.
"Soal usia itu subjektif. Kalau nak kata sekarang ini tengah trend orang muda atau remaja bernikah di Thailand, saya rasa tidak betul.
"Ini kerana rekod kami sendiri dalam setahun dalam 500 hingga 600 pasangan, cuma ada 25 peratus saja pelanggan peringkat usia 25 hingga 30 tahun.
"Dulu sebelum pandemik Covid-19, pernahlah ada pasangan berusia 19 hingga 20 tahun kami uruskan, itu pun kes jarang jumpa dan tidak banyak," katanya.
Mahu halalkan hubungan dahulu antara sebab pasangan muda bernikah di Thailand
Tambahnya, kebanyakan pasangan berusia 25 hingga 30 tahun yang mendapatkan khidmat mereka mempunyai alasan tersendiri apabila memilih untuk bernikah di Thailand.
"Banyak faktor mengapa pilih bernikah di Thailand tidak semestinya poligami kerana kadang-kadang peringkat usia macam ini bernikah cuma hendak halalkan hubungan mereka saja dulu.
"Kebanyakan pelanggan kami ada masalah sukar mendapatkan sijil pernikahan ibu bapa yang mungkin sudah lama hilang kerana itu antara syarat perkahwinan di Malaysia.
"Ada juga disebabkan pasangan itu berstatus anak tidak sah taraf serta masalah kewangan kerana hendak kahwin sekarang memerlukan belanja besar," ujarnya.
Menyarankan pasangan tidak tertarik dengan sindiket pakej nikah murah bagi mengelak berlakunya masalah
Kos bernikah di negara jiran itu selalunya mencecah anggaran RM2,300 hingga RM2,500 mengikut pakej dari bermula urusan pernikahan sehinggalah pengesahan pernikahan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di sana dan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
"Kos bernikah di Thailand memang tinggi sebab itu kalau hendak cakap golongan muda atau masih belajar agak susah sikit mereka bernikah di Thailand.
"Selain itu, pasangan Malaysia yang bernikah di Thailand perlu mendapatkan tiga pengesahan yang semua proses ini akan dibimbing ejen sehingga pernikahan mereka di Thailand sah di sisi undang-undang negara kita.
"Justeru, adalah penting pasangan yang ingin bernikah di negara jiran menggunakan khidmat ejen bertauliah serta tidak tertarik dengan tawaran sindiket pakej nikah murah di bawah RM2,000 terutama RM1,300 hingga RM1,800 bagi mengelak masalah pada kemudian hari," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!