‘Ajal Di Pertengahan Jalan’ - Jenazah Mangsa COVID19 Ditemui Tepi Jalan Di Muadzam, Pahang
Arwah dikatakan telah berjalan kaki dari Segamat, Johor menuju ke Kuala Terengganu kerana terlalu rindukan keluarga namun tiada kenderaan untuk pulang.
Semalam, 14 Mei, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu berita di mana kematian Covid-19 ke 110 (kes-ke 6,743) melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dalam keadaan tragis
Mangsa dikatakan ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang ketika dipercayai telah berjalan kaki dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal, mangsa dikenali sebagai Almarhum Mohd Haszlee Bin Hashim telah disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan ke atas mangsa ketika bedah siasat terhadap jenazahnya dibawa dari Hospital Muadzam Shah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang pada 12 Mei.
Namun, kes masih di bawah siasatan pihak polis dan Pejabat Kesihatan Rompin manakala punca jangkitan belum dikenalpasti serta masih dalam siasatan.
"Arwah dikatakan terlalu rindukan anaknya di kampung menyebabkan dia berkeras untuk pulang dengan berjalan selepas sekian lama terpisah dengan keluarga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.
"Ada sumber memaklumkan kepada kami, arwah ada melintasi lokasi sekatan jalan raya (SJR) dan anggota bertugas melihatnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya.
"Atas ihsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya. Namun, dia berkeras untuk berjalan pulang sejak Jumaat lalu," jelas Rafie ketika dihubungi pihak Harian Metro.
Waris mangsa iaitu kakaknya berkata dia ada meminta pihak berkuasa untuk mengesan kedudukan arwah selepas gagal dihubungi kerana bimbang akan keselamatannya
Menurut kakak arwah, arwah adiknya itu sangat bertanggungjawab pada keluarganya. Walaupun terkejut dengan khabar berita kematian adiknya itu, dia dan keluarganya tetap reda dengan apa yang berlaku.
Namun begitu, apa yang lebih menyedihkan adalah Rafie diberitahu bahawa pihak hospital memaklumkan kepadanya mengenai waris arwah tidak mampu untuk menanggung kos pengebumian arwah berjumlah RM`1,500.
Walau bagaimanapun, sebaik menerima berita itu, pihak Pengurusan Jenazah Malaysia terus membantu urusan pengebumian arwah termasuk membeli keranda serta menempah kubur dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pengendalian jenazah pesakit Covid-19.
Ia adalah termasuk kaedah tayamum untuk solat jenazah dengan jenazah dibalut dua lapisan plastik, tiga lapisan kain dan dua kali proses sanitasi dilakukan sepanjang urusan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang, semalam.
Ketika proses pengebumian, cuaca panas pada ketika itu membuatkan pihak mereka perlu bergilir-gilir mengambus tanah. Malah, ada yang hampir pitam.
Rafie berkata, "Sepanjang tiga jam urusan pengebumian itu, kami perlu memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi mengelak jangkitan Covid-19. Cuaca agak panas ketika proses pengebumian itu dan kami perlu mengambus tanah secara bergilir-gilir selepas jenazah dimasukkan ke liang lahad.
"Sepanjang tempoh itu, ada beberapa kali saya seperti mahu pitam kerana terlalu lemas berada dalam keadaan itu dengan peluh mencurah-curah membasahi pakaian kami.
"Sedangkan kami hanya memakai PPE dalam tempoh tiga jam sudah merasa sebegitu, apatah lagi petugas barisan hadapan. Tidak dapat saya bayangkan betapa hebatnya mereka memakai pakaian berkenaan seharian," katanya.
Alhamdulillah, jenazah Almarhum Mohd Haszlee Bin Hashim telah selamat disemadikan sebelum Zohor pada 13 Mei di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang
Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh dan semoga ahli keluarganya redha dan tabah menerima ujian yang ditetapkan Allah ini.
Amin YRA.