120,000 Pelajar Di Selangor Bakal Dapat Sarapan Percuma Mulai Ogos Ini – MB
Difahamkan, pelajar akan menerima sarapan dua hingga tiga kali seminggu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Negeri Selangor bakal melaksanakan program sarapan percuma yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 pelajar daripada 965 sekolah di seluruh negeri bermula Ogos ini
Menurut laporan Kosmo!, inisiatif itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai usaha membantu keluarga yang memerlukan di samping memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
Program ini melibatkan pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama JAIS serta institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
Image via Kosmo!Menurut Amirudin, pelajar yang layak telah dikenal pasti menerusi data JPN Selangor dan akan menerima sarapan dua hingga tiga kali seminggu.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu bukan sekadar bantuan makanan, malah merupakan pelaburan terhadap masa depan pendidikan kanak-kanak.
Katanya, beberapa negara seperti Finland, United Kingdom dan India telah membuktikan bahawa penyediaan sarapan percuma mampu meningkatkan kehadiran ke sekolah serta mengurangkan kadar keciciran pelajar.
Bantu ibu bapa hadapi tekanan kos sara hidup
Amirudin turut menjelaskan bahawa program itu menggunakan mekanisme yang hampir sama seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah lama dilaksanakan di sekolah.
Beliau berkata, antara matlamat utama inisiatif tersebut adalah untuk membantu ibu bapa yang berdepan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global serta konflik di Asia Barat.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan program berkenaan akan dilaksanakan melalui 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.
Setiap PBT diperuntukkan RM1 juta bagi tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan awal sebanyak RM12 juta. Program itu dijangka diteruskan sekiranya memberi impak positif kepada pelajar dan masyarakat.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, ribuan keluarga di Selangor dijangka dapat mengurangkan sedikit beban perbelanjaan harian, selain memastikan lebih ramai pelajar memulakan hari persekolahan dengan perut yang terisi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via