63 Kes Maut & 1,059 Kemalangan Dilaporkan Berlaku Ketika Pendakian Dalam Tempoh 5 Tahun
Susulan kes kemalangan berkaitan pendakian dan rekreasi hutan yang kian meningkat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sejak lima tahun ini kes kemalangan berkaitan aktiviti pendakian telah kian meningkat dan semakin merisaukan
Menurut laporan dari Harian Metro, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkongsi statistik dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menunjukkan keperluan untuk memperkukuh aspek keselamatan susulan peningkatan banyak aktiviti pendakian dan rekreasi hutan.
Menurut beliau, aktiviti rekreasi di Hutan Simpan Kekal (HSK) perlu diurus secara sistematik, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan sokongan pembiayaan daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM) untuk mengurangkan risiko serta pengurusan kapasiti laluan pendakian.
Baru-baru ini, Malaysia telah dikejutkan dengan kes seorang pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, berjaya ditemui selamat setelah hilang di Gunung Batu Putih selama dua minggu.

Kawasan berisiko tinggi perlu mewajibkan perkhidmatan Malim Gunung Perhutanan (MGP)
Beliau menambah kawasan berisiko tinggi perlu mewajibkan khidmat MGP yang bertauliah.
Orang Asli juga telah menjadi antara MGP di kawasan setempat dan diberi tauliah melalui program pembangunan kemahiran MGP.
"JPSM juga mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian yang berisiko tinggi sebagai jurupandu arah yang bertauliah bagi menyokong aspek keselamatan pendaki, tindak balas kecemasan serta pematuhan kepada amalan pendakian.
"Sehingga kini sebanyak 2,322 orang daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP melalui program pembangunan kemahiran MGP," katanya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh.
Image via BERNAMASistem pengurusan trek pendakian berasaskan teknologi geospatial, sistem maklumat geografi (GIS) dan penderiaan jauh atau remote sensing juga sedangan dibangunkan melalui JPSM dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MySA). Sistem ini dikatakan bakal meningkatkan lagi keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan maklumat spatial yang lebih tepat.
Pendaftaran aktiviti pendakian di kawasan HSK juga akan dilaksanakan sama ada secara manual atau menerusi platform dalam talian yang diuruskan oleh jabatan perhutanan negeri.
Aspek kemahiran dan kebajikan MGP serta pemandu pelancong alam semula jadi juga akan diambil serius dengan pelaksanaan program latihan dan pensijilan berkala.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via