Akrab Sejak Kecil, Tiga Bersaudara Maut Disambar Petir Dalam Tragedi Menyayat Hati Di Sepang

Difahamkan, mangsa sedang membaiki kereta dan berteduh di bawah pokok sebelum disambar petir.

Cover ImageCover image via Harian Metro & Utusan

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Tiga bersaudara yang membesar bersama berakhir dengan tragis apabila ketiga-tiga mereka telah meninggal dunia dipercayai akibat disambar petir

Dilaporkan oleh Berita Harian, kejadian di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang telah terjadi semalam ketika mangsa sedang membaiki kereta dan berteduh di bawah pokok sebelum disambar petir ketika hujan.

Disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang bagi tindakan selanjutnya semalam.

Arwah Mohd Sahrif Marusin, 26; dan Mohamad Ahzam Marusin, 16, adalah adik-beradik manakala Mohammad Safwan Aksan, 18, adalah saudara mereka.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan tiga jasad bertutup dengan kain batik terbaring di bawah sebatang pokok.

SAYS.com

Keadaan mangsa yang disyaki disambar petir di Sepang, Selangor.

Image via Utusan

Bapa saudara sahkan ketiga-tiga mangsa memang rapat sejak membesar bersama di kampung halaman

Menurut bapa saudara, Haris Salleh Kurais, 42, mengatakan ketiga-tiga mangsa memang rapat sejak kecil dan tidak dapat dipisahkan sejak membesar di Semporna, Sabah sehinggalah menetap di Selangor.

​"Ketika itu saya sedang tengok TV (televisyen) dalam 4.30 petang, saya dapat panggilan mengatakan yang anak buah saya terkena renjatan elektrik, lepas tu ada seorang lagi kata kena panahan petir.

​"Jadi saya siap-siap dan terus bergegas ke hospital. Ketika itu saya memang terkejut, tak sangkalah benda tu boleh berlaku,"
katanya.

Haris mengatakan mereka sangat rapat dan ketiga-tiga anak saudaranya memang menghormati dirinya sebagai pak cik mereka dan malah baru sahaja bertemu kira-kira dua hari lalu ketika berkumpul bersama keluarga.

SAYS.com

Haris Salleh (tengah) ketika ditemui pemberita di Hospital Serdang.

Image via Berita Harian

"Tiga-tiga ini mereka memang rapat, sangat rapat. Kalau seorang pergi mana-mana yang dua lagi mesti akan ikut. Contoh, seorang buat (baiki) motor, yang lain pun ikut sebab mereka memang suka baiki motor orang.

"Masa kejadian itu pun mereka sedang baiki kereta milik salah seorang daripada mereka. Jadi, memang saya tak sangkalah benda ini boleh berlaku,"
katanya.

Seluruh ahli keluarga di Semenanjung Malaysia dan di Sabah juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini termasuk ibu bapa mangsa yang berada di kampung.

Urusan penghantaran pulang ke Sabah akan dilakukan secepat mungkin sejurus proses bedah siasat oleh pihak polis selesai dijalankan.

Difahamkan, Mohd Sahrif bekerja sebagai pekerja pembersihan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala dua lagi saudaranya tidak bekerja.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS